PRU15: UMNO gerak solo, biar rakyat nilai - Idris
Abd Razak Mohd Ali
September 18, 2022 15:42 MYT
September 18, 2022 15:42 MYT
BUKIT GANTANG: Keputusan UMNO untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak dilihat lebih mementingkan diri dari memelihara perpaduan dan menjaga kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, terpulang kepada rakyat sendiri akan menilai dan menentukan keputusan itu pada PRU15 nanti.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, partinya tetap dengan pendirian untuk memelihara perpaduan dan menjaga kepentingan rakyat, terutamanya untuk generasi yang mendatang.
“Tak apa lah, UMNO bercakap dengan konsep begitu, kita tetap cakap tentang konsep perpaduan.
“Terpulang kepada rakyat untuk menilai siapakah yang mahukan perpaduan.
“Kalau berasakan dia nak keputusan PRU ke-14 berulang balik, sila buat begitu,” katanya ketika ditemui selepas program berjalan bersama-sama hampir 1,000 penduduk kampung yang berakhir di Arena Futsal Bukit Gantang, di sini, hari ini.
Menurutnya, walaupun UMNO mempunyai banyak sejarah dengan Pas, tetapi mereka berlapang dada demi mementingkan perpaduan ummah serta kepentingan generasi yang akan datang.
Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu membuat keputusan untuk bergerak solo kerana tindak-tanduk dan sikap Pas.
Jelasnya, hasrat bekerjasama yang disampaikan Pas hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat Muafakat Nasional (MN).