PRU15: Tunda atau teruskan mengundi, SPR digesa buat keputusan segera susulan banjir

Dewi Nur Harasha Alias
November 17, 2022 16:29 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa membuat membuat keputusan segera sama ada mahu meneruskan atau menunda Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir, kata Nurul Izzah Anwar.
PERMATANG PAUH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa membuat membuat keputusan segera sama ada mahu meneruskan atau menunda Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan-kawasan yang terlibat dengan banjir.
Menurut Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, perkara itu perlu diputuskan berikutan terdapat beberapa kawasan dan pusat pengundian yang terjejas dengan banjir berikutan peralihan Monsun Timur Laut yang melanda negara ketika ini.
Katanya, keputusan segera itu penting demi memberi kemudahan kepada calon dan juga pengundi yang akan melaksanakan tanggungjawab mereka.
Malah, ujar Nurul Izzah, terdapat peruntukan dalam peraturan pilihan raya untuk menunda dan bukannya membuat pilihan raya semula sekiranya berlaku hal sedemikian.
“Saya rasa penting juga untuk memahami dalam urusan aturan pilihan raya. Dalam pilihan raya sendiri ada peruntukan untuk menunda, kena jelas bab ini, menunda bukan membuat pilihan raya semula.
“Kita minta sangat, desak sangat, yang desak sangat mengundi ini adalah UMNO. Kerajaan BN (Barisan Nasional), PN (Perikatan Nasional), hormati proses kalau perlu tunda di kawasan-kawasan banjir buat sekarang, umum sekarang mudahkan calon, mudahkan pengundi… tapi saya rasa tak boleh terima bila tiba-tiba dibatalkan saat akhir.
“Ada desas-desus bahawa UMNO terkebelakang dan ada kebarangkalian besar PH (Pakatan Harapan) menang. SPR peluru lihat secara profesional.. Pada saya penting dilihat sebagai objektif dan profesional dalam pilihan raya,” kata Nurul Izzah dalam sidang media di Yayasan Aman, Penanti, di sini, pada Khamis.
Sehubungan itu, katanya, adalah amat tidak wajar sekiranya SPR membuat ketetapan itu di saat-saat akhir.
Dalam masa sama, Izzah turut mengingatkan agar sebarang keputusan yang dibuat agensi itu tidak dipengaruhi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berikutan kedengaran desas-desus bahawa BN mula ketinggalan ke belakang.
Di Selangor, banjir mula melanda beberapa kawasan menyebabkan 10 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka antaranya di Petaling, Klang, Hulu Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Sepang.
Sehingga pagi tadi, jumlah mangsa banjir direkodkan di negeri itu adalah seramai 848 mangsa membabitkan 208 keluarga.
#PRU15 #tunda PRU15 #undi banjir #Nurul Izzah Anwar
;