PRU15: Tok Det yakin pertahan Parlimen Padang Terap

Adie Sufian Zulkefli
November 5, 2022 14:54 MYT
Datuk Seri Mahdzir Khalid berkeyakinan penuh dapat mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). - Gambar Astro AWANI
PADANG TERAP: Penyandang kerusi Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkeyakinan penuh dapat mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam masa sama, Mahdzir atau juga mesra dikenali sebagai Tok Det berkata, pertembungan empat penjuru yang akan dihadapi memberi keazaman kepadanya untuk bekerja kuat bagi memenangkan Barisan Nasional (BN).
“Insya-Allah, saya wakil rakyat, Ahli Parlimen di sini (Padang Terap) sebelum ini dan saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa saya dapat mempertahankan kerusi Parlimen Padang Terap,” kata Mahdzir.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman nama calon bagi kerusi itu di Pejabat Daerah Padang Terap, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, BN mempunyai pelbagai program bersesuaian yang dirancangkan untuk menarik minat golongan anak muda bersama BN pada PRU15.
“Anak muda adalah satu daripada kluster yang paling penting juga dalam menentukan sokongan kepada calon-calon… jadi kita juga mempunyai program dan juga rancangan untuk anak muda bersama dengan Barisan Nasional,” jelas beliau lagi.
Pada proses penamaan calon di pejabat daerah berkenaan, Mahdzir diumum antara empat calon yang akan bertanding dalam PRU15 pada 19 November ini.
Tiga calon lain yang akan merebut kerusi berkenaan ialah Razali Lebai Salleh daripada parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muaz Abdullah (Pakatan Harapan) dan Nurul Amin Hamid (Perikatan Nasional).
Pengumuman nama calon itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya P007 Parlimen Padang Terap, Datuk Abd Ghani Zainuddin pada pukul 10.26 pagi selepas tempoh penyerahan borang penamaan calon tamat pada pukul 10 pagi.
#PRU15 #penamaan calon PRU15 #Parlimen Padang Terap #Mahdzir Khalid
;