PRU15: Tindakan UMNO gantung keahlian dua Ketua Wanita tidak wajar - Ismail Abd Muttalib
Sinar Harian
November 13, 2022 06:45 MYT
November 13, 2022 06:45 MYT
SHAH ALAM: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib menganggap penggantungan isterinya daripada seluruh jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian tidak sepatutnya berlaku.
Justeru, Ismail menasihatkan pimpinan tertinggi UMNO untuk lebih berhati-hati dalam membuat keputusan ekoran isterinya, Datin Seri Fatimah Kassim diundi perwakilan ketika pemilihan parti.
"Sebagai isteri, dia akan berikan sokongan moral kepada saya namun belum tahu dia berikan sokongan sebenarnya kepada parti (saya) yang baharu. Tetapi kenapa buat dia (pecat) begitu.
"Maknanya tindakan ini seolah menghina orang. Banyak orang komen pada saya, apa hak (UMNO) nak gantung, nak rehatkan dia.
"Apabila anda buat macam itu, orang ramai lagi marah, seolah-olah kita tiada maruah," katanya sebagai memetik laporan sebuah portal berita pada Ahad.
Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata, penggantungan Fatimah yang merupakan Ketua Wanita UMNO Maran dan Datin Seri Shamsiah Yasin (Ketua Wanita UMNO Arau) selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO.
Tindakan tersebut diambil berikutan terdapat aduan sahih berkenaan tingkah laku, sikap dan kecenderungan kedua-dua individu terbabit yang didapati memberikan sokongan kepada calon lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Shamsiah merupakan isteri kepada penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dipecat daripada UMNO selepas mengumumkan akan bertanding di bawah tiket PN pada PRU15.
Sementara itu, Fatimah berkata, keputusan UMNO untuk menggantungnya tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.
"Saya lebih selesa sekarang, bahkan dalam keadaan sekarang lebih bersemangat untuk berjuang, membantu suami saya (Ismail) memastikan kemenangan," katanya. -Sinar Harian