PRU15: Tindakan tiga pemimpin UMNO tanding atas tiket lawan tidak jejaskan UMNO, BN - Ahmad Maslan

Bernama
November 6, 2022 22:51 MYT
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bilangan pemimpin yang terlibat adalah kecil dan ia bukan isu besar. - Gambar fail/BERNAMA
PONTIAN: Tindakan tiga pemimpin UMNO yang bertanding atas tiket parti lawan atau Bebas tidak menjejaskan parti dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata bilangan pemimpin yang terlibat adalah kecil dan ia bukan isu besar dan semua jentera kini perlu memberi fokus dalam memastikan kemenangan UMNO dan gabungan itu demi kestabilan politik dan rakyat.
"Tiga (orang) sahaja (yang berpaling tadah). Sikit sangat. Yang lain ok. Mereka (yang bertanding atas tiket parti lawan dan Bebas) ni, ada yang sudah lapan penggal dan ada yang kalah dalam pemilihan ketua bahagian serta ada masalah lain.
"Kita bukan sengaja buang, lapan penggal dah jadi 40 tahun, macam (Tan Sri) Annuar Musa pun sudah lapan penggal tapi bagus masih bagi sokongan (walaupun tidak terpilih jadi calon), (begitu juga) dengan (Datuk Seri) Mohamed Nazri Abdul Aziz dan (Tan Sri) Noh Omar pun masih bagi sokongan," katanya kepada Bernama selepas sesi menyantuni masyarakat Tiong Hua di Benut, di sini, hari ini.
Penyandang kerusi Parlimen Pontian itu berkata masih ada peluang lagi bagi pemimpin-pemimpin lain yang tidak terpilih menjadi calon bagi PRU15 memandangkan terdapat enam negeri lagi yang masih belum ada Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.
"Jadi pemimpin UMNO yang tidak terpilih untuk jadi calon Parlimen, yang masih menunjukkan kesetiaan dan sebagainya, mungkin pucuk pimpinan akan pertimbangkan untuk menerima mereka bertanding pada PRN nanti...bukan habis di situ sahaja," katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib masing-masing bertanding mempertahankan kerusi di Parlimen Arau dan Maran atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.
Penyandang kerusi Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia pula bertanding atas tiket Bebas bagi mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan selain bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Titi Tinggi.
Sementara itu, Ahmad yang sudah tiga penggal di Parlimen Pontian berharap masyarakat di kawasan Parlimen itu akan terus memberi sokongan dan memilih BN untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.
Mengakui bahawa lawannya juga mempunyai kekuatan tersendiri, beliau berharap pengundi bijak dalam memilih sama ada mahukan pemimpin yang hanya turun ke padang untuk berkempen atau memilih pemimpin yang saban minggu turun ke kawasan untuk bersama-sama dengan rakyat.
"Saya sendiri telah jaga kawasan sebaik mungkin. Setiap minggu balik (ke kawasan) tanpa gagal, baik zaman menang atau kalah. Saya harap khidmat saya ini diterima baik dan saya buat begini sudah sekian lama, bukan masa berkempen sahaja," katanya yang akan berdepan persaingan empat penjuru, ditentang calon PN Datuk Isa Ab Hamid, Shazwan Zdainal Abidin (Pakatan Harapan) dan Jamaluddin Mohamad (Pejuang).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Nov sebagai hari mengundi PRU15, manakala 15 Nov adalah hari mengundi awal.
-- BERNAMA
#pemimpin UMNO #tanding tiket parti lawan #PRU15 #Ahmad Maslan
;