PRU15: Tindakan pemimpin UMNO tanding parti lain tidak patut berlaku - Mahdzir
Bernama
November 4, 2022 15:47 MYT
November 4, 2022 15:47 MYT
KUALA NERANG: Tindakan dua pemimpin UMNO yang akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini tidak sepatutnya berlaku, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Beliau berkata keputusan penyandang kerusi Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan penyandang kerusi Parlimen Maran Datuk Seri Ismail Abd Muttalib juga telah melanggar perlembagaan parti.
"Saya fikir ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku, tapi ada yang dah berlaku. Jadi ada sesuatu yang tidak berapa menariklah sebab ada yang telah membuat keputusan yang begitu drastik.
"Dalam institusi politik ini realiti macam itulah (harus berjiwa besar jika tidak dipilih sebagai calon pilihan raya)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama guru-guru KAFA dan jawatankuasa masjid daerah Padang Terap di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan dua bekas anggota Kabinet itu yang diumumkan akan bertanding atas tiket PN pada PRU15 oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Terengganu di Marang, Terengganu, malam tadi.
Mahdzir berkata dalam perlembagaan parti, sudah jelas dinyatakan mengenai peraturan dan hukuman bagi ahli yang melakukan kesalahan tertentu.
Ditanya sama ada kedua-dua pemimpin itu telah terlucut keahlian mereka dalam UMNO, beliau berkata perkara itu sudah terkandung dalam perlembagaan parti namun enggan mengulas lanjut dan menegaskan tumpuan adalah ke arah memenangi pilihan raya nanti.
Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Ismail sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menang kerusi masing-masing atas tiket Barisan Nasional pada PRU14 lepas.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka digugurkan sebagai calon bagi PRU15 dan digantikan oleh Datuk Rozabil Abd Rahman sebagai calon di Parlimen Arau manakala Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin di Parlimen Maran.
-- BERNAMA