PRU15: Tidak ada hitam putih, KDM bergerak solo - Peter Anthony
Mirlen Axtius
Oktober 22, 2022 08:20 MYT
Oktober 22, 2022 08:20 MYT
KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) memaklumkan akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelas presidennya Datuk Peter Anthony, ia susulan parti itu sehingga kini masih belum diterima oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Kalau kita lihat pada ketika ini, ya terpaksa kita lakukan sedemikian oleh kerana tidak ada hitam putih daripada pihak GRS, maka kita akan bergerak solo di dalam PRU15 ini.
"Walau pun saya atau pun di peringkat parti ini, belum mendapatkan hitam putih, sama ada kita diterima atau pun tidak, tapi bagi kita di peringkat parti ini, pembubaran sudah berlaku.
"Ini bererti mungkin perjuangan di peringkat parti ini kita kena teruskan oleh kerana pembubaran sudah berlaku bererti harapan kita atau pun di peringkat kita, kita perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya ke-15 ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam Solidariti KDM di Dewan Hakka, Likas pada Jumaat.
Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, walaupun KDM bertanding di peringkat parlimen tetapi parti itu masih menyokong GRS di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
"Di peringkat negeri kita sememangnya mesra dan menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri.
"Oleh kerana kita percaya seperti mana kenyataan saya baru-baru bahawa di peringkat Sabah belum ada ketua menteri yang boleh menggantikan beliau, tetapi di peringkat persekutuan pula parlimen yang akan menentukan dan memilih.
"Jadi, di peringkat parti kita buat ketetapan untuk bertanding di beberapa kawasan parlimen di seluruh Sabah," tambahnya.
Ditanya apakah KDM akan bertembung dengan GRS pada PRU15 Peter berkata, perkara itu akan dilihat kemudian dan bagi peringkat parti mempunyai perancangan tersendiri.
Jelasnya, dari pihak calon juga sudah bersedia di beberapa bahagian untuk bertanding bagi peringkat parlimen.
Dalam perkembangan yang sama beliau turut memaklumkan KDM akan bertanding di Parlimen Kota Marudu dan Kota Kinabalu selain memberi gambaran akan meletakkan calon di beberapa kerusi Parlimen lain termasuk Papar dan Tenom.
"Kita umumkan Datuk Seri Winston Liaw Kit Siong sebagai calon yang akan mewakili KDM di Kota Kinabalu.
"Saya juga percaya Datuk Wetrom masuk KDM kerana mempunyai perjuangan atau matlamat seperti yang ada dalam KDM, jadi sudah pasti beliau akan turun bertanding di Kota Marudu," tegasnya.
Tambah Peter, KDM akan bertanding menggunakan logo bunga Rafflesia pada PRU15.