PRU15: Tian Chua sedia bertemu Anwar malam ini
Sinar Harian
November 15, 2022 13:51 MYT
November 15, 2022 13:51 MYT
KUALA LUMPUR: Calon Bebas Parlimen Batu, Tian Chua menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ceramah mega yang diadakan di Batu pada malam Selasa.
Tian Chua yang juga bekas Ahli Parlimen Batu berkata, ada tiga perkara akan diusulkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.
“Pertama saya telah bergerak di akar umbi dan pengundi ingin melihat beliau (Anwar) menjadi Perdana Menteri, itu jelas dalam kalangan pengundi Batu.
“Majoriti pengundi Batu menolak Barisan Nasional (BN) dan mahu melihat saya menjadi wakil rakyat mereka,” katanya kepada Sinar Harian selepas melawat pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada Selasa.
Dalam pada itu, Tian Chua turut menegaskan, perjuangannya selaras dengan matlamat perjuangan PH.
“Meskipun tinggalkan PKR, saya masih setia dengan prinsip perjuangan parti yang saya juga antara pengasasnya,” katanya.
Beliau turut mengakui ada penyokong PH yang tidak berpuas hati dengan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu.
“Bila kita pegang satu pendirian yang benar ada risikonya dan perjuangan ini adalah jangka panjang dan kita buktikan pada tindakan.
“Sama juga ketika zaman reformasi, ramai yang kata kenapa buat kacau, huru-harakan negara tetapi saya yakin dengan prinsip yang saya pegang.
“Saya tetap berjuang, mungkin pada waktu itu benda yang nak kita buat tak nampak dan akhirnya yakin kawan-kawan saya sedar tentang pendirian itu adalah betul,” ujarnya.
Bekas Naib Presiden PKR itu bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu bertembung 10 penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berdepan calon BN, Datuk A Kohillan Pillay; calon PH, P Prabakaran; Gerakan Tanah Air (GTA), Wan Azliana Wan Adnan; P Naganathan (Parti Warisan) dan Azhar Yahya Perikatan Nasional (PN).
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.