PRU15: "Tiada yang berjiwa besar dalam BN dan UMNO selain Ahmad Zahid" - Ismail Sabri

Abd Hadi Che Awang
Oktober 19, 2022 18:56 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tiada mana-mana individu yang lebih berjiwa besar di dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO selain daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Gambar BERNAMA
BANDAR BAHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tiada mana-mana individu yang lebih berjiwa besar di dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO selain daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Perkara itu, kata Ismail Sabri, jelas dibuktikan oleh Presiden UMNO dan Pengerusi BN itu kepadanya yang juga Naib Presiden UMNO menerusi sokongan untuk menjadi Perdana Menteri kesembilan.
Bahkan, UMNO Bahagian Bagan Datuk yang dipimpin Ahmad Zahid, jelas Ismail Sabri, turut mengemukakan usul menyokong dirinya sebagai calon Perdana Menteri mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tambah beliau, permainan persepsi yang diciptakan sesetengah pihak terutama pembangkang yang mendakwa wujud dua kem berbeza perlu ditangkis segera dan memaklumkan bahawa hubungannya dan Ahmad Zahid adalah sangat baik.
"Selama ini, (sebenarnya) kita dan (rakyat Malaysia) terperangkap dengan permainan jahat (pihak tertentu) yang membuat persepsi bahawa saya punyai masalah dengan Presiden (UMNO),
"Golongan ini (mereka) nak semua percaya, setiap hari ada cerita ada dua kumpulan, kumpulan Putrajaya dan PWTC, saya (sebenarnya) sudah duduk dengan Presiden bincang (perkara ini), (kita) mesti hentikan.
"Apabila diberhentikan (ia akan menepis semua dakwaan yang tidak benar itu) , (yang saya pelik) bukan sahaja pembangkang, dalam kalangan kita ada yang, 'kipas cucuk sate' (cipta persepsi sama), (saya nak katakan di sini) biar (kita nampak) musuh yang jelas depan mata, daripada (ada) musuh dalam (ahli) parti," jelas beliau.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Solidariti Kestabilan Kemakmuran Peringkat Negeri Kedah di Dataran Serdang, di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri menegaskan, keputusan 152 Bahagian UMNO meletak dan menyokong beliau sebagai calon Perdana Menteri mewakili BN pada PRU15 bukan atas tekanan mana-mana pihak.
Sebaliknya, penyandang kerusi Parlimen Bera itu, berkata, keputusan mencalonkan nama beliau itu telah disepakati dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti sebelum ini dan telah diumumkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid.
#PRU15 #ismail sabri yaakob #Zahid Hamidi berjiwa besar #Presiden UMNO
;