PRU15: Tiada perpecahan di Pasir Salak, hubungan Azwan-Tajuddin seperti biasa
Ridauddin Daud
November 9, 2022 19:41 MYT
November 9, 2022 19:41 MYT
PASIR SALAK: Hubungan Datuk Khairul Azwan Harun dan penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman masih baik, sekali gus menafikan khabar angin berlaku perpecahan di kawasan tersebut.
Calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu berkata, memang ada suara nakal, ‘mengusik’ beliau dengan pelbagai khabar angin namun biasanya ia datang dari pihak lawan.
Bahkan, katanya, usikan itu sudah bermula semasa Hari Penamaan Calon lagi apabila pihak lawan melaungkan nama Tajuddin namun beliau menganggap ia sebagai jenaka memeriahkan hari penamaan.
“Hubungan yang ada tu berjalan seperti biasa, saya tidak ada rasa tiba-tiba beliau halang saya mengepalai jentera. Perkara yang penting dalam PRU adalah siapa yang menjadi Pengarah Jentera Pilihan Raya.
“Sudah tentu apabila calon itu jadi pengarah, tiada siapa bantah termasuk Datuk Seri. Dia kata Azwan calon, Azwan pengarah. Saya anggap itu komitmen beliau sebagai ahli parti,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu juga menganggap Tajuddin berjiwa besar kerana beliau tidak melakukan tindakan bertanding atas tiket lain seperti mana dilakukan beberapa bekas pemimpin UMNO.
“Saya gembira kerana beliau sendiri mengakui dan memberi jalan kepada saya untuk mengepalai jentera pilihan raya.
“Secara tradisi, calon akan jadi pengarah jentera dan tiada bantahan atau kekangan dibuat beliau,” katanya kepada Astro AWANI.
Selepas tiga penggal, Tajuddin tidak lagi akan bergelar Ahli Parlimen Pasir Salak selepas UMNO tidak mencalonkan beliau dalam pilihan raya kali ini, menggantikan beliau dengan calon lebih muda, Khairul Azwan.
Saingan di kerusi tersebut amat menarik kerana ia mempertemukan empat calon baharu di Parlimen itu.
Selain Khairul Azwan, ia turut ditandingi Nik Omar Nik Abdul Aziz (Pakatan Harapan), Jamaludin Yahya (Perikatan Nasional) dan Zairol Hizam Zakaria (Gerakan Tanah Air).