PRU15: Tiada masalah lantik tiga TPM, tetapi ikut keperluan - Takiyuddin

Muhafandi Muhamad
Oktober 26, 2022 08:30 MYT
TAKIYUDDIN: Bagi Pas, tiada masalah, cuma nak lantik tiga TPM itu bergantung kepada keperluanlah. -Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Cadangan lantikan tiga Timbalan Perdana Menteri suatu syor yang baik, namun bergantung kepada keperluan.
Menurut Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan meskipun dalam Perlembagaan Persekutuan tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri, namun jawatan itu diwujudkan atas dasar amalan.
"Saya rasa cadangan itu baik cuma waktu ini walau tiada TPM, pentadbiran kerajaan kita ada 'senior minister' atau menteri kanan yang mempunyai portfolio masing-masing dan ketua kepada kluster.
"Bagi Pas, tiada masalah, cuma nak lantik tiga TPM itu bergantung kepada keperluanlah," kata Takiyuddin.
Katanya, cadangan pelantikan tiga timbalan perdana menteri itu juga bergantung kepada keperluan serta hasil perbincangan dan maklum balas dalam jemaah menteri.
Takiyuddin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberi jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Cadangan itu antara yang tersenarai dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 BN dan akan direalisasikan sekiranya BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, calon PN yang bertanding di Parlimen seluruh negara akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden pada Khamis ini.
Calon PN yang terpilih dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini di negeri masing-masing.
#PRU15 #tiga timbalan perdana menteri #Takiyuddin Hassan #Zahid Hamidi
;