PRU15: Tiada masalah jika Anwar hendak bertanding di Tambun, tapi berbaloikah? - Aziz Bari
Amirrul Rabbani
September 5, 2022 16:01 MYT
September 5, 2022 16:01 MYT
IPOH: DAP Perak berpandangan tiada masalah sekiranya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi merebut kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata ini kerana keberadaan Anwar dilihat mampu memberi kekuatan tambahan kepada PH Negeri untuk mendapani PRU15.
Walau bagaimanapun, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu berpandangan Anwar akan membuat pelbagai pertimbagan berkenaan selain menyifatkan kerusi berkenaan tidak berbaloi untuk Anwar.
“Pada pandangan saya, tiada masalah untuk dia (Anwar) bertanding di Tambun tetapi apakah dia akan menurunkan ‘standard’ dia ke situ, adakah berbaloi?
“Ini memandangkan beliau adalah calon Perdana Menteri dan calon lawan beliau seharusnya individu yang setaraf dengan beliau.
"Jadi, dia harus mempertimbangkan juga kedudukannya dalam politik untuk dia datang bertanding di situ,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan Anwar akan bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata ketika ini belum ada sebarang ketetapan rasmi dibuat berhubung kedudukan calon dan kerusi di situ.
"Saya fikir dia cuma memberi maklum balas kepada soalan pemberita sahaja (berkenaan bertanding di Parlimen Tambun).
"Dia tidak mengatakan secara rasmi akan bertanding di Tambun, tetapi bagi kami kalau ‘bos besar’ hendak datang, ia memberi kelebihan kepada kami," ujar beliau.
Pada 11 Ogos lalu, Anwar dilaporkan sedia mempertimbangkan pelawaan PKR Perak untuk bertanding di negeri itu pada PRU15.
Antara kerusi dicadangkan termasuklah kawasan Parlimen Tambun yang kini disandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sebelum itu, Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dilaporkan sedia memberi laluan kepada Anwar bertanding kerusi Parlimen itu dan dipersetujui akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang.
Selain Anwar, media juga melaporkan Abdul Aziz turut ada menyatakan hasrat untuk bertanding di kerusi sama pada PRU15.