PRU15: Tiada isu dakwaan bebaskan 'kluster mahkamah' - PM

Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 13, 2022 11:21 MYT
Ismail Sabri berkata tuduhan yang dilemparkan sebahagian pimpinan parti pembangkang itu adalah tidak berasas. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Dakwaan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilakukan demi membebaskan pihak tertentu daripada pertuduhan mahkamah adalah tidak benar sama sekali.
Malah, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tuduhan yang dilemparkan oleh sebahagian pimpinan parti pembangkang itu adalah tidak berasas.
"Tuduhan itu tidak berasas baik daripada (Mohamed) Azmin Ali atau Lim Kit Siang.
"Saya sudah jelaskan semasa saya mengumumkan pembubaran, jadi jelas selama ini dari segi keabsahan itu adalah sejak daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kepimpinan negara dengan mengatakan 'kerajaan tebuk atap' dan 'kerajaan pintu belakang' dan berbagai lagi.
"Sepatutnya pembangkang berterima kasih kepada saya dan seronok apa yang saya lakukan kerana akan mempercepatkan pilihan raya," katanya ketika ditemui media selepas hadir merasmikan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di sini, hari ini.
Malah keputusan pembubaran Parlimen, kata Ismail Sabri, tidak berpandukan tekanan yang diterima dalam UMNO.
Sebaliknya, sekiranya beliau menuruti apa sahaja kemahuan pimpinan UMNO, sudah tentunya pembubaran Parlimen akan dibuat lebih awal.
Beliau turut menempelak Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menurutnya bekas perdana menteri itu sebelum ini turut menyifatkan kerajaan di bawah pentadbiranya adalah kerajaan yang gagal.
"Bagaimana saya nak uruskan kerajaan sekiranya saya tak yakin kesepakatan dan solidariti sesama menteri kabinet.
"Seperti kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam. Ia (kenyataan kerajaan gagal) juga adalah hasil keputusan parti.
"Ada pengaruh daripada presiden parti kepada menteri-menteri kabinet daripada parti Bersatu," katanya lagi.
Malah, katanya lagi, parti tersebut juga telah mengarahkan kepada menteri-menteri untuk menulis surat membantah pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong yang dianggap tidak wajar dilakukan.
Jika perkara tersebut berterusan, ia akan menyebabkan kerajaan sedia ada tidak akan stabil sampai bila-bila.
#ismail sabri yaakob #PRU15 #bubar parlimen #Kluster Mahkamah
;