PRU15: Tiada insiden buruk, luar biasa semasa proses mengundi setakat ini - Acryl Sani
Bernama
November 19, 2022 14:52 MYT
November 19, 2022 14:52 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada insiden buruk atau luar biasa dilaporkan kepada pihak polis setakat ini ketika proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sedang berlangsung, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
"Setakat ini proses mengundi terkawal," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kertas, Batu Caves, di sini hari ini.
Hari ini adalah hari pengundian bagi PRU15.
Acryl Sani berkata, polis hanya menerima rungutan orang ramai mengatakan tempoh menunggu untuk mengundi begitu lama, hingga ada yang mengambil masa lebih dua jam.
"Pengundi berpusu-pusu keluar mengundi, nampaknya mereka tidak begitu mengikuti masa cadangan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) bagi mengurangkan kesesakan," katanya.
Setakat 12 tengah hari, menurut SPR kira-kira 42 peratus telah keluar mengundi.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi 21,173,638 orang pemilih termasuk 20,853,681 pengundi biasa. - BERNAMA