PRU15: Tiada gabungan boleh bentuk kerajaan sendirian - Penganalisis

Firdaus Azil
Oktober 16, 2022 17:52 MYT
Pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu pasca PRU15 dilihat mungkin menggabungkan pelbagai parti tanpa mengira pendekatan atau ideologi yang sama, kata penganalisis politik, Prof Arnold Puyok. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pembentukan kerajaan Persekutuan yang baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat mungkin menggabungkan pelbagai parti tanpa mengira pendekatan atau ideologi yang sama.
Penganalisis politik, Prof Arnold Puyok berpendapat, ketika ini tiada mana-mana gabungan parti yang mampu mendapat majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan Persekutuan sendiri.
Berbeza sewaktu PRU sebelum ini, kata beliau, parti Barisan Nasional (BN) di Sabah dan Sarawak pada waktu itu sering kali memainkan peranan sebagai blok penting dalam pembentukan kerajaan di Putrajaya.
“Kalau kita bandingkan PRU ke-15 dengan yang sebelum ini, sebagai contoh PRU12 dan PRU13, BN di Sabah dan Sarawak muncul sebagai ekuiti politik yang dominan yang memainkan peranan besar dalam pembentukan kerajaan di Persekutuan.
“Bagi saya ini tidak semestinya akan diulangi kerana kita lihat di Semenanjung pun tiada entiti dominan, apatah lagi di Sabah,” kata beliau dalam wawancara menerusi program Malaysia Memilih terbitan Astro AWANI hari ini.
Katanya, situasi semasa di Sabah berbeza dengan Sarawak kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg begitu dominan, sekali gus menjadikan ia lebih signifikan dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.
Mengulas mengenai pelaksanaan Akta Antilompat Parti 2022, Arnold berkata, ia mungkin akan menjadikan politik di Sabah, tidak ‘menarik’ seperti dahulu.
“Mungkin itu akan jadikan politik Sabah ini tidak semenarik dulu. Tetapi masih awal untuk komen kerana kita akan lihat kesan undang-undang ini kepada pergerakan ahli politik.
“Tapi ketika ini ini boleh kurangkan politik tawar menawar ataupun politick of horse trading antara ahli politik. Ini yang akibatkan ramai ahli politik untuk tukar parti pada 11th hour (minit-minit terakhir) sebelum pembentukan kerajaan,” kata beliau lagi.
#bubar parlimen #PRU15 #bentuk kerajaan #Arnold Puyok
;