PRU15: Tiada calon 'payung terjun' di Perak termasuk di Gerik - Saarani
Abd Razak Mohd Ali
Oktober 24, 2022 12:43 MYT
Oktober 24, 2022 12:43 MYT
TANJUNG MALIM: Barisan Nasional (BN) Perak mengulangi ketegasan bahawa tidak ada calon 'payung terjun' di negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketegasan itu dizahirkan sekali lagi Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini.
Beliau mengulangi ketegasan itu apabila diajukan mengenai ura-ura ada calon payung terjun akan bertanding di Parlimen Gerik.
“Tak ada, tak ada…Barisan Nasional tidak akan mencipta masalah baru.
“Kita selesaikan masalah sedia ada dan jangan mencipta masalah baharu…Insya Allah tak ada calon payung terjun,” katanya.
Beliau ditemui ketika Program Ramah Mesra Dengan Keluarga K. Devagi Sempena Hari Deepavali di Kg Chengai, Sungkai, dekat sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango.
Sebelum ini terdapat ura-ura Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mungkin akan bertanding kerusi Parlimen Gerik.
Gerik adalah kubu kuat UMNO, malah parti itu tidak pernah kalah di kawasan tersebut.
Mengulas mengenai spekulasi Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Howard Lee bakal bertanding di Parlimen Gerik yang kerap dibangkitkan sejak beberapa hari lepas, Saarani mengucapkan selamat mencuba kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu.