PRU15: Terpulang pada SPR siasat salah laku calon - Hishammuddin
Abd Razak Mohd Ali
November 13, 2022 15:14 MYT
November 13, 2022 15:14 MYT
SUNGAI SIPUT: Barisan Nasional (BN) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat sebarang dakwaan salah laku calon, seperti melebihi had perbelanjaan kempen.
Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, sekiranya terbukti berlaku salah laku, SPR juga boleh mengambil tindakan.
"Saya tak pernah menyembunyikan kepada pengundi. Kita ada agensi yang memantau kalau ada kesilapan tak kira dari parti mana, harap SPR ambil tindakan yang sewajarnya… biar proses dan tindakan itu tidak digembar-gemburkan tidak digunakan sebagai bahan politik murahan menjelang hari pengundian 19 November," katanya.
Beliau ditemui Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin Barisan Nasional di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Ahad.
Hadir sama Presiden MIC yang juga calon Parlimen Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran, calon DUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan calon DUN Jalong, Pan Chean Chang.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, timbul pelbagai dakwaan kononnya berlaku pelanggaran Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 1957.
Pemasangan bahan kempen sebelum hari penamaan dan had perbelanjaan untuk membiayai kempen politik melebihi RM200,000 antara kesalahan yang didakwa dilakukan calon.
Selain itu, dikatakan terdapat juga calon yang didakwa menganjurkan jamuan makan kepada orang awam sedangkan perbuatan itu dilarang sepanjang tempoh berkempen.