PRU15: Tengku Zafrul dinamakan calon BN Kuala Selangor

Bernama
November 1, 2022 00:35 MYT
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor. - Gambar/ Twitter Bernama
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan beberapa tokoh dari pelbagai latar belakang termasuk dalam bidang keagamaan sebagai calon muka baharu mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor.
Turut tersenarai pendakwah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias yang dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Larut; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya yang akan bertanding di Parlimen Kangar dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dinamakan sebagai calon di Parlimen Sungai Besar.
Selain itu, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan akan bertanding di Parlimen Alor Gajah, Ahli MT UMNO, Hizatul Isham Abdul Jalil akan bertanding di Parlimen Shah Alam; muka baharu dari MCA Neow Choo Seong yang dinamakan sebagai calon di kerusi Parlimen Taiping dan anak bekas ketua menteri Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang akan bertanding di Hang Tuah Jaya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata BN turut menampilkan 'wajah segar' yang mempunyai idea serta sudut pandang yang bugar demi kemakmuran negara.
BACA: PRU15: Senarai calon BN diumum Zahid Hamidi
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN menampilkan lebih 85 peratus calon yang mempunyai kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN memenangi 79 kerusi Parlimen.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov, penamaan calon 5 Nov dan pengundian awal pada 15 Nov.
-- BERNAMA
#PRU15 #Calon PRU15 #Tengku Zafrul #Calon BN
;