PRU15: Tempoh kempen 14 hari sesuai untuk Sarawak - Nanta
Fadilah Sulaiman
Oktober 20, 2022 17:12 MYT
Oktober 20, 2022 17:12 MYT
KUCHING: Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyifatkan tempoh berkempen 14 hari untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bersesuaian dan mencukupi bagi membolehkan para pemilih melakukan persiapan khususnya di pedalaman sebelum menunaikan kewajipan sebagai warganegara.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang juga penyandang Ahli Parlimen Kapit itu turut mengingatkan semua pengundi melakukan persiapan rapi serta cakna notis berkaitan lokasi dan masa di pusat pembuangan undi masing-masing bagi memastikan proses berjalan lancar dan undi diterima.
“Kempen dalam dua minggu ini adalah sesuai dan mencukupi kerana kalau dari sudut luar bandar di Sarawak ataupun Sabah kawasannya luas dan perhubungan kita pun agak sukar jadi tempoh 14 hari itu adalah tempoh masa yang sangat sesuai, tidak terlalu singkat dan tidak juga terlalu panjang.
“Jadi ia akan memberi peluang dan ruang kepada pengundi lebih-lebih lagi pengundi di luar kawasan untuk balik melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan mengundi pada hari yang tertentu,” katanya.
Alexander berkata demikian melalui kenyataan susulan pengumuman tarikh-tarikh penting PRU15 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis.
Dalam pada itu menurutnya jentera-jentera GPS masih kekal semangat daripada Pilihan Raya Sarawak pada Disember lalu untuk persediaan menempuhi PRU15 ini biarpun dengan cabaran musim tengkujuh.
“Jadi antara cabaran mungkin kita depani musim tengkujuh ini dan negeri Sarawak ini memang kawasannya luas dan khususnya di Kapit memang kita masih menggunakan perjalanan melalui sungai dan bot ke kawasan yang belum ada jalan perhubungan.
“Memang kita tahu cabarannya tapi kita sudah bersedia dengan semua segalanya yang diperlukan selain persediaan pada musim tengkujuh ini,” katanya.
Untuk makluman GPS akan bertanding di kesemua 31 kerusi parlimen Sarawak dan dijangkakan bakal mengemukakan sekurang-kurangnya 12 calon baharu.