PRU15: Tawar KWSP bersasar, PN sudah tidak ada modal - Anwar

Shuhada Abdul Kadir
November 7, 2022 17:29 MYT
Anwar menyifatkan gabungan itu ketandusan modal berkempen bagi mendapatkan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15). - Gambar/ Astro AWANI
AYER KEROH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tawaran dibuat Perikatan Nasional (PN) berhubung pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.
Beliau berkata janji berkenaan tidak realistik memandangkan KWSP adalah duit rakyat dan menyifatkan gabungan itu ketandusan modal berkempen bagi mendapatkan mandat dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
“KWSP itu duit rakyat dan sekarang duit rakyat sudah tinggal sikit (kurang) RM10,000 (pengeluaran sebelum ini). Fahamlah sikit (bahawa) peranan Perdana Menteri dan kerajaan adalah untuk pulihkan ekonomi.
“Tidak perlu menekan rakyat dari segi bawa wang mereka keluar, sampai tidak ada dah. Dulu saya cadang dan saya setuju (tetapi) peringkat awal dan dah keluar banyak dah. Sekarang tidak ada modal (kempen) lain kah?,”soalnya.
Beliau ditemui media selepas Program Santai Bersama Anak Muda di Bukit Beruang, di sini yang turut disertai calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Hang Tuah Jaya (HTJ), Adam Adli Abd Halim.
[LAPOR LANGSUNG] Gelanggang PRU15 sudah dibuka, calon penuh ada di sini
RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memaklumkan akan meneliti pengeluaran wang simpanan KWSP secara bersasar jika parti itu mendapat mandat dalam PRU15.
Bagaimanapun Muhyiddin berkata, pengeluaran bersasar itu harus dinilai terlebih dahulu terutama dalam aspek jumlah baki simpanan pencarum yang memohon untuk lakukan pengeluaran berkenaan
Mengulas lanjut, Anwar yang juga calon PH Parlimen Tambun turut menggesa kontrak tanpa tender yang dilakukan oleh pimpinan terdahulu dihentikan bagi menyelamatkan lebih banyak wang rakyat.
“Hentikan kontrak tanpa tender yang dibuat perdana menteri dulu sama ada Ismail (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) atau Muhyiddin termasuk Digital Nasional Berhad (DNB).
“(Apabila) tidak ada tender, bocor berbilion (ringgit) dan kontrak yang diberikan begitu banyak... yang mana itu mesti dihentikan dan boleh selamatkan bilion ringgit,” katanya.
#PRU15 #Anwar Ibrahim #KSWP #Muhyiddin Yassin
;