PRU15: Tarikh mengundi, kempen 21 hari antara cadangan bantu peratusan keluar mengundi tinggi
Hasimi Muhamad
Oktober 15, 2022 19:53 MYT
Oktober 15, 2022 19:53 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 menyarankan beberapa cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai usaha untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusinya, Thomas Fann berkata, antara saranan tersebut termasuk membenarkan rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja atau menetap di Semenanjung untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal.
Selain itu, beliau mengesyorkan SPR agar memudahkan proses permohonan dan penghantaran undi pos bagi mereka yang berada di dalam atau luar negara.
"Hari mengundi yang dipilih oleh SPR juga memang penting. Kalau mereka pilih hari di tengah-tengah minggu, kemungkinan besar ramai yang akan rasa tidak selesa untuk balik dan membuang undi.
"Saya harap SPR akan pilih pada hujung weekend, (hari minggu) (misalnya) Sabtu amat sesuai," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Thomas berkata tempoh berkempen juga wajar dipanjangkan sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan undi-undi pos dapat sampai pada waktu sepatutnya kepada pegawai pengurus di kawasan masing-masing.
"SPR boleh guna kuasa budi bicara mereka untuk memanjangkan masa mengundi dan saya harap mereka akan menggunakan kuasa ini di mana, kalau ada ramai pengundi yang belum mengundi dan sedang beratus, SPR akan panjangkan masa untuk mereka mengundi.
"Dalam pada itu, kalau ada kawasan yang dilanda banjir, SPR boleh gunakan kuasa bukan hanya panjangkan masa tetapi tangguhkan kepada hari lain," tambah Thomas.
Sebagai suruhanjaya yang bertanggungjawab melaksanakan pilihan raya, Thomas berkata SPR boleh menggunakan saluran media dan platform radio untuk mengalakkan pengundi yang layak keluar mengundi.
Bagi pengundi baharu pula, penyebaran maklumat mengenai dokumen yang perlu dibawa perlu diperhebatkan bagi memastikan kelancaran pada hari pengundian.
Dalam masa yang sama, Thomas yakin keputusan enam negeri untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing tidak akan menjejaskan peratusan keluar mengundi pada PRU15 ini.
SPR akan bermesyuarat khas pada 20 Oktober ini bagi membincangkan dan menentukan tarikh-tarikh penting PRU15.
#PRU15
#parlimen bubar
#cadangan bantu peratusan keluar mengundi tinggi
#Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil