PRU15: Tambah lebih banyak kerusi untuk calon wanita- Haniza Talha
Astro Awani
Mac 10, 2021 18:15 MYT
Mac 10, 2021 18:15 MYT
KUALA LUMPUR: Setiausaha Wanita Parti Perikatan Nasional (PN), Haniza Talha mencadangkan agar kerusi ditandingi calon Pilihan Raya Umum ke-14 wanita dikekalkan untuk PRU15 nanti.
Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya itu juga berharap lebih banyak kerusi ditambah untuk calon wanita pada PRU akan datang.
"Saya juga mencadangkan agar pemilihan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan sahaja mengekalkan kerusi ditandingi wanita dlm PRU14 lalu malah menambah lebih banyak kerusi untuk calon wanita," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, pemerkasaan wanita amat penting untuk diri, keluarga dan negara secara amnya.
"Tanpa kita sedar wanitalah yang banyak menggerakkan keluarga dan negara. Tanpa wanita siapalah kita. Dibesar, dilahirkan dari rahim wanita sehingga mampu berjaya. Peranan wanita tidak mampu ditidakkan oleh sesiapa," ujarnya.
Kerajaan PN katanya sentiasa berpegang pada prinsip pemerkasaan wanita kerana nilai kaum itu cukup tinggi dalam pembangunan sesebuah negara.
"Bagaimanapun dalam kita melihat nilai tersebut ada beberapa sisi penting yang harus dilihat kerana wanita masih dibelenggu beberapa isu.
"Ini termasuklah isu rumah tangga, gangguan seksual, streotaip peranan wanita, penglibatan dalam pembuat dasar, keputusan dan politik serta bebanan kerja dihadapi wanita.
"Isu-isu ini adalah realiti sebenar yang dihadapi wanita masa kini. Justeru penting untuk pemerkasaan wanita dilakukan, kerana ia akan jadi perubahan penting untuk negara pada masa akan datang," katanya lagi.
Malah laporan dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia pada bulan Disember 2020 menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam arena politik Malaysia.
"Ia juga bermakna nisbah wanita dalam komposisi Kabinet, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) amat kurang menyebabkan suara dan pandangan wanita tidak lagi kedengaran. Perkara sebegini sepatutnya tidak harus berlaku memandangkan pencapaian wanita telah mengatasi lelaki di sub-indeks Pencapaian Pengajian Tinggi dengan skor 1.053," tambahnya.
#PRU15
#calon wanita
#PRU
#Malaysia
#pilihan raya umum
#Setiausaha Wanita Parti Perikatan Nasional
#Haniza Talha