PRU15: Taktikal kawasan ditandingi rentasi faktor jantina, etnik - Zahid
Afiezy Azaman
November 4, 2022 11:30 MYT
November 4, 2022 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Peranan jantina penting tetapi aspek taktikal kawasan ditandingi calon merentasi faktor jantina.
Justeru itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahidi berkata, pemilihan calon untuk memenangi sesebuah kawasan Parlimen tidak melihat warna kulit, etnik dan jantina.
"Dalam isu jantina memang kita sedaya upaya memenuhi agar pengisian tersebut memenuhi permintaan wanita.
"Kita cuba penuhi sedaya upaya namun dalam kita cuba penuhi tersebut ada bantahan kalangan pihak tertentu misalnya ada calon penyandang calon lelaki misalnya tidak mahu memberikan laluan tersebut kerana masih mahu bertanding mengekalkan kuasa seperti di Padang Besar Perlis.
"Kita juga meletakkan calon wanita di Tanjung Karang sebagai mengiktiraf peranan perjuangan wanita. Kita sedaya upaya meletakkan calon wanita sebanyak mungkin. Saya kira bukan sahaja BN, akan tetapi parti-parti lain bukan BN juga lakukan perkara sama," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Jumaat.
Pada Khamis, Astro AWANI melaporkan Wanita Barisan Nasional (BN) berasa terkilan apabila pencalonan golongan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak memenuhi sasaran 30 peratus seperti yang dijanjikan pucuk pimpinan parti sebelum ini.
Menurut Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Noraini Ahmad, pihaknya sedar bahawa fokus untuk memenangkan parti ketika ini lebih menjadi keutamaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sesiapa yang dilihat boleh menang dan memiliki ciri 'WALI' akan dipertaruhkan untuk bertanding.
"Semua calon terbaik namun ada nilai tambah yang perlu untuk penyegaran parti agar berdaya saing dan bercirikan politik generasi masa depan.
"Dengan kata lain kalau boleh diungkapkan sebagai 'tidaklah kisah sama ada warna kucing tersebut, hitam atau putih atau warna apa sekali pun, atau gender apa sekali pun asalkan ia berkemampuan mengalahkan tikus'. Jadi tidak timbul isu kononnya ada bias gender atau warna kulit.
"Sebaliknya perjuangan manusia sejagat melangkaui warna kulit dan biologi, bermakna juga kemenangan akan datang dengan menggunakan senjata politik mekanisme terbaik yang merentasi segala aspek pertimbangan dan apa pun strategi kemenangan ia juga sebahagian daripada langkah taktikal parti," jelasnya.