PRU15: "Tak perlu sayang potong rambut, nanti kutu yang kenyang" - Kias Annuar Musa
Afiezy Azaman
November 20, 2022 15:36 MYT
November 20, 2022 15:36 MYT
KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa memilih berkias mengenai perkembangan semasa landskap politik tanah air khususnya berkaitan dengan prestasi buruk gabungan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Analogi yang ditulis Annuar ialah, apa guna berambut panjang jika hanya mengundang banyak kutu di kepala.
Bekas Ahli Parlimen Ketereh yang digugurkan sebagai calon kawasan itu sememangnya dilihat kritikal terhadap kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Hari ini saya ke kedai gunting biasa saya di Bangsar, rambut agak panjang dah lama bertangguh, tidak potong lebih awal kadang-kadang menyusahkan.
"Tidak perlu rasa sayang nak potong rambut, potong sahaja lagi kemas selepas dipotong.
"Kadang-kala bersama rambut yang panjang, banyaklah kutu di kepala. Kutu yang kenyang, kita ni tak dapat faedah apa apa. Jika mahu segak kembali, segera potong, murah saja," kata Annuar dalam hantaran di Facebooknya, pada Ahad.
Hari ini, beberapa pemimpin UMNO mengumumkan peletakan jawatan dalam parti dan mengisytiharkan hilang kepercayaan serta menggesa Ahmad Zahid untuk meletak jawatan sebagai Presiden UMNO.
Antara mereka ialah Tan Sri Noh Omar yang meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor dan Shahril Hamdan sebagai Ketua Penerangan UMNO.
Turut sependapat adalah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.