PRU15: Syor tiga jawatan TPM dimasukkan sebagai manifesto BN Sabah - Ahmad Zahid
Hasimi Muhamad
Oktober 23, 2022 14:45 MYT
Oktober 23, 2022 14:45 MYT
KIMANIS: Barisan Nasional (BN) mengesyorkan agar tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dimasukkan dalam manifesto BN Sabah.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan kedua tertinggi kerajaan itu dicadang diisi oleh wakil rakyat dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, jika BN mendominasi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelas beliau, saranan itu perlu dikemukakan oleh BN Sabah untuk pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Ini adalah pendekatan baharu yang dicadangkan oleh BN agar BN di Sabah, GPS (Sarawak) dan BN di Semenanjung dapat masukkan sebagai manifesto.
“Saya yakin PM akan terima cadangan ini kerana jawatan TPM tiada dalam Perlembagaan. Sebab itu tiada jawatan TPM, yang ada menteri kanan," katanya pada Ahad.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Gelombang Biru Barisan Nasional Zon 3 melibatkan Kimanis, Papar, Beaufort dan Sipitang, di sini.
Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; barisan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO; Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Sabah, Datuk Seri Bung Mohtar Radin serta Ketua UMNO dan BN Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, cadangan melantik tiga TPM tidak mustahil untuk dilaksanakan.
Sementara itu, beliau ketika berucap turut mengambil contoh bahawa terdapat negara jiran yang melantik enam Timbalan Perdana Menteri.
Ahmad Zahid menambah, beliau turut mencadangkan agar BN Sabah memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya peruntukan-peruntukan yang selama ini disalurkan kepada kementerian, diberikan terus kepada kerajaan Negeri melalui agensi dan jabatan.
Jelas beliau, langkah tersebut bagi memudahkan pelaksanaan peruntukan di peringkat kerajaan Negeri.
"Tentunya ini satu pendekatan yang bagi hemah saya boleh dilaksanakan apatah lagi setelah pindanan Perlembagaan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah dan tentunya mekanisme ini dapat dilakukan bila BN dominan untuk menjadi kerajaan di Putrajaya," katanya lagi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri ketika diminta mengulas mengenai syor tersebut menegaskan, segala yang terkandung dalam manifesto BN bukan suatu pembohongan.
"BN tak pernah berbohong dari segi manifesto...
"Jadi oleh kerana ini merupakan manifesto BN, maka wajib kita akan laksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto, Timbalan Perdana Menteri bagi Sabah, Sarawak," katanya.