PRU15: Syafiq Aziz lancar enam teras manifesto untuk warga Ayer Hitam

Bernama
November 13, 2022 04:20 MYT
Muhammad Syafiq berhasrat menaik taraf Institut Pertanian Ayer Hitam menjadi institusi pengajian tinggi. -BERNAMA
KLUANG: Calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Syafiq A. Aziz melancarkan enam teras manifestonya untuk warga Parlimen Ayer Hitam, termasuk menjadikan zon tengah Johor itu sebagai hab pelancongan pertanian sebagai usaha menawan hati pengundi parlimen itu pada Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon muda berusia 34 tahun itu berkata Ayer Hitam mempunyai pelbagai hasil pertanian seperti durian, pisang berangan dan bermacam tanaman, yang mampu dijadikan tarikan pelancong selain industri ternakan seperti arnab, kambing dan lembu.
"Semua ini boleh mewujudkan agro-farm yang mampu menarik pelancong luar untuk singgah menikmati hasil pertanian di sini, serta meluangkan masa bersama keluarga dengan menginap di inap desa milik masyarakat Ayer Hitam," katanya pada sidang media pelancaran manifestonya di sini pada Ahad.
Bekas Setiausaha Kerja Menteri Besar Johor ke-16 Allahyarham Datuk Osman Sapian itu berkata menerusi manifesto berkenaan, beliau berhasrat menaik taraf Institut Pertanian Ayer Hitam menjadi institusi pengajian tinggi.
"Institusi pengajian tinggi ini akan menjadi benih pembangunan di Parlimen Ayer Hitam dan sebagai contoh, nilai hartanah akan meningkat sekali gus akan merancakkan ekonomi serta peniaga kecil dan sederhana akan mendapat manfaat yang lebih besar," katanya.
Muhammad Syafiq berkata beliau juga komited, untuk membantu golongan belia untuk mendapat rumah pertama mereka dan akan memperjuangkan membina rumah mampu milik bagi generasi muda di Ayer Hitam, terutamanya bagi mereka yang baru mendirikan rumahtangga.
Selain itu, beliau turut berhasrat membina kilang kluster hub halal, bagi merancakkan industri kecil sederhana (IKS) yang menghasilkan produk makanan ringan dan kraftangan di Ayer Hitam.
Muhammad Syafiq juga melihat Ayer Hitam mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai hab pelancongan, budaya dan sukan, melalui penganjuran fiesta kebudayaan merangkumi masyarakat Melayu, Cina dan India, supaya dapat dijadikan contoh kepada seluruh negara selain membina pusat riadah keluarga dan kompleks sukan untuk warga Ayer Hitam.
Parlimen Ayer Hitam menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Muhammad Syafiq, calon Pakatan Harapan (PH) Sheikh Omar Bagharib Ali dan penyandang kerusi berkenaan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Barisan Nasional).
Wee yang memegang kerusi parlimen itu selama empat penggal, menang tipis pada PRU14 dengan majoriti 303 undi menewaskan Liew Chin Tong (PH) dan Mardi Marwan (PAS).
-- BERNAMA
#Syafiq Aziz #calon PN Parlimen Ayer Hitam #PRU15 #Manifesto
;