PRU15: Surat palsu; pembangkang cemas, takut bayang-bayang sendiri - Zahid
Ridauddin Daud
November 3, 2022 12:18 MYT
November 3, 2022 12:18 MYT
KUALA LUMPUR : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan parti lawan kini takut dengan bayang-bayang sendiri tidak habis-habis menabur fitnah dan tipu daya sebagai bahan 'kempen'.
Kenyataan itu merujuk kepada tularnya sepucuk surat aku janji, mendakwa Ahli Parlimen UMNO harus menandatangani surat tersebut yang mempunyai beberapa syarat selepas diumumkan menjadi calon.
Menurut Ahmad Zahid, pembangkang kini sedang cemas dan bimbang apa yang mereka lakukan sebelum ini berbalik kepada mereka semula.
"Hari ini rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan. Tidak sukar mereka 'membaca' pembohongan itu.
"Fitnah terbaru lawan BN ini menjadi bukti jelas lagi kukuh mengapa rakyat perlu menolak mereka dan pastikan mereka ini tidak menang apatah menjadi kerajaan semula.
"Jangan benarkan Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang ditubuhkan atas dasar fitnah dan penipuan kerana hampir pasti rakyat juga akan sekali lagi difitnah dan dibohongi," katanya menerusi Facebook beliau pada Khamis.
Tambahnya, BN kini berusaha menyatakan kebenaran namun, ada pula pihak yang gigih menyebarkan surat palsu sebegitu.
"Mereka fikir BN macam mereka agaknya sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka.
"Kemudian menzalimi pemimpin-pemimpin BN yang setia mempertahankan parti dan `membelai' yang tunduk serta patuh kepada tuntutan mereka.
"Sebab itu kita percaya lawan BN sedang takutkan bayang-bayang sendiri," ujarnya.
Pada Rabu, tular sepucuk surat, mendakwa ia merupakan 'surat aku janji' buat semua calon daripada UMNO yang akan bertanding dalam PRU15 nanti.
Antara inti pati surat tersebut termasuk memberikan jawatan Kabinet yang utama kepada wakil UMNO dan BN seperti yang diarahkan oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN.
Dalam surat tersebut, terpampang nama Ketua Penerangan BN, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah
yang kemudian menegaskan surat tersebut adalah palsu dan tidak benar.