PRU15: Sudah tiba masanya PM dari sebuah parti berbilang kaum - UPKO
Amirrul Rabbani
Oktober 20, 2022 23:29 MYT
Oktober 20, 2022 23:29 MYT
IPOH: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mahu seorang Perdana Menteri yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak dapat memahami kehendak rakyat-rakyat di Sabah dan Sarawak dengan baik.
Presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata justeru sudah tiba masanya Malaysia dipimpin oleh seorang pemimpin daripada sebuah parti yang berbilang bangsa seperti Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“PRU kali ini adalah ‘great reset’ untuk semua supaya kita dapat bina negara ini dengan mengangkat seorang Perdana Menteri yang memimpin sebuah parti politik berbilang kaum.
“Jika sebelum ini, yang pernah memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri semuanya datang daripada parti yang berasaskan satu kaum sahaja.
“Dengan izin tuhan, kerja keras semua, dan dengan sokongan rakyat, mudah-mudahan kali ini kita dapat angkat seorang pemimpin dari sebuah parti berbilang kaum.
“Kita dari Sabah tidak mahu lagi ada perasan tersisih seperti sebelum ini,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi PH.
Beliau berkata demikian pada Konvensyen Harapan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini pada Khamis malam.
Hadir sama, Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, Anwar serta Timbalan-timbalan Pengerusi PH lain yang antaranya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook serta Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Dalam pada itu, Wilfred berharap agar isu seperti hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang didakwa tidak diambil perhatian dapat diselesaikan sekiranya PH berjaya memenangi PRU15.
“Kami dari wilayah Borneo, kami tertunggu-tunggu seorang pemimpin yang bukan sahaja memahami malah benar-benar bertindak untuk menyelesaikan kepayahan rakyat wilayah Borneo.
“Jika cerita tentang Perjanjian Malaysia 1963, kerajaan-kerajaan sebelum ini hanya setakat tubuhkan jawatankuasa sahaja. Tetapi jika PH menang di bawah kepimpinan Anwar (sebagai perdana menteri), kami dari Sabah dan Sarawak ada tindakan termasuk dalam soal hak-hak negeri dan sebagainya.
“Kami mahu apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 itu dapat dilaksanakan selepas ini. Itu yang kami harapkan,” katanya lagi.