PRU15: Srikandi Sabah cadang empat calon wanita, ada pelajaran dan bijak politik
Alexion Mairin
Mei 14, 2022 16:18 MYT
Mei 14, 2022 16:18 MYT
KOTA KINABALU: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengenal pasti empat calon wanita yang akan berentap pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sambil menyifatkan calon-calon itu terdiri daripada individu yang berpelajaran dan berpengetahuan dalam politik serta kemasyarakat, Ketua Srikandinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, mereka akan mengisi kerusi di kawasan utara, pantai timur dan pedalaman Sabah.
"Calon-calon ini sudah kita kenal pasti dan akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan. Kita mahu apabila calon-calon itu dinamakan perlu ada perundingan supaya kita dapat pastikan mereka ini bekerja di kawasan masing-masing.
"Calon yang kita kenal pasti itu juga perlu berpelajaran sekurang-kurangnya peringkat diploma selain mempunyai pendedahan bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga kemasyarakatan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Srikandi Bersatu Sabah di Kota Kinabalu pada Sabtu.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding semula merebut kerusi Parlimen Beaufort, Azizah menyerahkan kepada pucuk pimpinan.
Bagaimanapun, beliau optimis jika ada calon Srikandi lain yang dicalonkan menggantikannya pada PRU15.
"(Parlimen) Beaufort ini penyandangnya seorang Srikandi (wanita)... pengganti mesti daripada Srikandi.
"Kita dalam politik ini ada masa kita kena berjuang dan ada masanya kita beri laluan kepada orang lain. Apapun kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan," katanya.