PRU15: SPR perlu cari jalan tingkat jumlah keluar mengundi - Shamrahayu
Bernama
Oktober 14, 2022 19:39 MYT
Oktober 14, 2022 19:39 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mencari jalan untuk memastikan setiap pemilih berdaftar keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan peratusan keluar mengundi di dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini tidak mencapai sasaran.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata perkara itu perlu menjadi keutamaan pihak SPR bagi memastikan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini terpelihara.
"Contohnya, kita menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun supaya lebih ramai rakyat terlibat dalam pemilihan pemimpin, tetapi kalau rakyat tak turun maka tak betullah jumlah majoriti yang didapati oleh seseorang yang menang pilihan raya itu.
"Ini perlulah diusahakan oleh SPR dan semua pihak untuk memastikan ramai lagi warga Malaysia yang layak turun mengundi," katanya dalam program Malaysia Petang Ini terbitan BernamaTV.
Sebelum ini PRN Johor mencatatkan peratusan keluar mengundi 54.92 peratus berbanding 70 peratus yang disasarkan oleh SPR, manakala di PRN Melaka peratusan pengundian adalah 65.85 peratus dengan sasaran yang sama.
Pada 10 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 sekali gus memulangkan semula mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.
-- BERNAMA