PRU15: Sokongan terhadap PN semakin meningkat - Muhyiddin

Bernama
November 10, 2022 22:15 MYT
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sokongan rakyat kepada gabungan itu semakin meningkat, berdasarkan sambutan luar biasa yang dilihatnya sepanjang sesi turun padang berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). - Gambar fail/Sinar Harian
KUANTAN: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sokongan rakyat kepada gabungan itu semakin meningkat, berdasarkan sambutan luar biasa yang dilihatnya sepanjang sesi turun padang berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata kebanyakan rakyat yang ditemuinya sepanjang tempoh itu, menyatakan hasrat mahukan pembaharuan pada pentadbiran negara.
"Saya fikir situasi ini mungkin disebabkan mereka mahukan satu kerajaan lebih prihatin dan bertanggungjawab, selepas situasi kehidupan yang tidak begitu baik selepas pandemik COVID-19," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bersama Masyarakat di Felda Lepar Hilir 3 di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Mengulas secara spesifik penerimaan masyarakat FELDA kepada PN, Muhyiddin berkata golongan itu juga semakin terbuka untuk mendengar tawaran daripada PN dan bukannya seperti dahulu yang dilihat menjurus ke arah Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
"FELDA yang kita tahu, dikatakan macam kubu UMNO dan BN tapi kini tidak begitu lagi, orang sudah berubah. Kalau (dahulu) buat (program) di FELDA, jarang sambutan begini.
"Tapi sekarang mereka (peneroka FELDA) bersikap lebih terbuka dan bersedia mendengar. Ini perubahan besar dalam kalangan peneroka FELDA," katanya.
PN meletakkan calon di semua 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada PRU15.
-- BERNAMA
#Perikatan Nasional #PRU15 #Muhyiddin Yassin #calon PN
;