PRU15: Sokongan saat akhir bantu PN tawan Teluk Intan

Sinar Harian
November 18, 2022 09:30 MYT
Masaad (kanan) menyerah borang keahlian menyertai Bersatu di Teluk Intan, malam tadi. -Foto Sinar Harian
TELUK INTAN: Angin perubahan pengundi di saat akhir dijangka memberikan kelebihan buat calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin bagi memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan.
Menurut Zainol, perkembangan tersebut turut memberi gambaran positif kepada PN negeri untuk meraih kerusi daripada DAP.
Beliau berkata, keyakinan itu selepas 200 ahli dan penyokong UMNO yang hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu menyatakan sokongan terbuka kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Kita amat alu-alukan kehadiran ahli baharu Bersatu di Teluk Intan ini dan kita harapkan ia mampu memberi lonjakan untuk kita pastikan Parlimen Teluk Intan akan ditawan PN.
"Malah kita juga harapkan ia menjadi penanda aras dan peluang terbaik untuk Bersatu khususnya PN membawa perubahan di Perak dengan memulakan langkah menawan Parlimen Teluk Intan," katanya yang juga Setiausaha Bersatu Perak di sini malam tadi.
Sementara itu, bekas Ketua UMNO Cawangan Jalan Mak Intan, Masaad Mansur berkata, keputusan tersebut dibuat atas kerelaan sendiri selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan UMNO Bahagian Teluk Intan.
"Kami seolah-olah terpinggir dan merasakan tidak diperlukan sebagai ahli parti malah pimpinan UMNO sendiri menyatakan cawangan kami ini bukan dalam kawasan Changkat Jong.
“Mesej kami jelas, kami mahu bantu menangkan PN dalam PRU15 dan kami akan cuba tarik pengundi atas pagar menyokong PN,” katanya. -Sinar Harian
#PRU15 #Zainol Fadzi Paharuddin #Parlimen Teluk Intan #Masaad Mansur
;