PRU15: Sivarasa akur keputusan Anwar

Bernama
November 4, 2022 17:43 MYT
Sivarasa berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan kesihatannya dan sebarang faktor lain yang difikirkannya relevan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh selama tiga penggal, R. Sivarasa menerima keputusan sepenuhnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkannya bagi mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sivarasa, dalam kenyataan hari ini, berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan kesihatannya dan sebarang faktor lain yang difikirkannya relevan.
"Dia berhak untuk membuat keputusan muktamad...sejak tiga bulan lalu, saya menghadapi masalah dengan pita suara dan sedang menggunakan pembesar bunyi pertuturan untuk membantu dan melindungi suara saya ketika ini," sambil menambah bahawa ia adalah lebih penting untuk fokus kepada kempen bagi Pakatan Harapan (PH) menawan Putrajaya.
Sivarasa, yang juga Ketua Cabang PKR Sungai Buloh, berkata Anwar telah membangkitkan kebimbingannya mengenai keadaan kesihatannya dan sama ada beliau dapat menguruskan kempen pilihan raya.
BACA: PRU15: Rafizi akui cadang Sivarasa kekal di Sungai Buloh, namun akur keputusan Anwar
Namun, Sivarasa berkata beliau mempunyai pandangan berbeza dan menjelaskan bagaimana beliau akan menguruskan kempen secara berbeza dengan mengambil kira keadaan suaranya.
Tempat Sivarasa diganti oleh Timbalan ketua Penerangan 1 PKR, Datuk R. Ramanan manakala Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Pada PRU-14, Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh Sivarasa selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh daripada PAS, A. Prakash Rao (BN) dan wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM), Zainurizzaman Moharam.
-- BERNAMA
#kerusi Parlimen Sungai Buloh #Sivarasa #Presiden PKR Anwar Ibrahim #PRU15
;