PRU15: Siti Aishah azam perhebat kemudahan sukan
Sinar Harian
November 7, 2022 11:30 MYT
November 7, 2022 11:30 MYT
BAGAN SERAI: Bekas senator, Siti Aishah Shaik Ismail tekad untuk menambah baik kemudahan sukan di Parlimen Bagan Serai dalam usaha mengiktiraf pembangunan anak muda di kawasan itu.
Calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, berbanding tempat lain, kawasan Bagan Serai masih jauh ketinggalan dengan kebanyakan fasiliti sukannya tidak memenuhi keperluan semasa generasi muda negara.
"Ini antara fokus PH di Bagan Serai untuk menyantuni kelompok anak muda yang dekat dengan sukan.
"Kita lihat bagaimana fasiliti-fasiliti sukan dalam Bagan Serai jauh ketinggalan dari tempat lain.
"Keadaan ini menjadi sandaran kepada saya untuk memperkasakan lagi kemudahan sukan, naik taraf dan bina baru yang sesuai dengan keperluan semasa," katanya ketika ditemui dalam program santuni anak muda di Padang Gunung Semanggol di sini pada Ahad.
Pada PRU15 ini, Ahli Majlis Pimpinan PKR itu bertanding di kerusi Parlimen Bagan Serai dalam persaingan empat penjuru bersama Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Dua lagi calon adalah Zul Helmi Ghazali (BN) dan Ahmad Luqman Ahmad Yahaya (Pejuang).
Pada PRU14 lalu, kerusi Parlimen Bagan Serai dimenangi Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang ketika itu mewakili BN dengan majoriti 172 undi.
Mengulas lanjut, Siti Aishah, 39, berkata, PRU15 adalah medan terbaik untuk mengangkat kebajikan anak muda dan tidak menjadikan mereka hanya bahan kempen semata-mata.
"Sudah sampai masanya kita hidangkan kepada generasi muda kita, apa yang dekat dengan mereka.
"Saya bersama pasukan (calon PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) akan terus dekati kumpulan ini. Mana tahu dengan sokongan ini, Bagan Serai mampu melahirkan tokoh-tokoh sukan di peringkat antarabangsa," katanya.
Calon baharu di Parlimen Bagan Serai itu pernah bertanding pada PRU13 di kerusi Parlimen Tambun, namun tewas kepada Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah (BN) dengan majoriti 9,325 undi. -Sinar Harian