PRU15: Siapa bakal ganti Najib di Pekan?
Fareez Azman
Oktober 24, 2022 16:16 MYT
Oktober 24, 2022 16:16 MYT
KERUSI Parlimen Pekan antara yang mendapat perhatian dalam pertembungan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pahang.
Persoalan utama, siapa bakal calon daripada UMNO yang dilihat 'winnable' bagi mengantikan figura politik berusia 69 tahun itu masih belum terjawab.
Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) juga belum mengumumkan sama ada calon parti berkenaan ingin mencuba nasib di kerusi disifatkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu.
Astro AWANI menjelajah di sekitar kawasan Pekan bagi mendapatkan reaksi pengundi di sana.
Apa rakyat Pekan mahu?
Bagi Marzuki Mamat, 54, peniaga di Kuala Pahang, perubahan di Parlimen itu amat dinantikan oleh rakyat.
Dari sudut memilih pemimpin yang bakal diberi mandat pula jelasnya, biarlah yang dapat turun membantu rakyat.
"Kena pemimpin yang hok betul-betul saksama, adil jangan pilih kasih, hati perut biar bersih baru rakyat suka.
"Tengok dulu, jangan ikut pemimpin hak dulu-dulu," katanya ketika ditemui di sini, pada Ahad.
Legasi Najib
Lain pula pandangan Amran Mat Kechik, 55, yang merupakan pengundi di Parlimen Pekan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya.
Calon yang akan dipilih mengantikan Najib, diharapkan beliau dapat menyambung legasi ditinggalkan bekas Presiden UMNO itu.
"Datuk Seri Najib terkenal bukan sebab Perdana Menteri, dia terkenal dengan kebajikan dia.
"Memang pada awal sejak arwah ayah beliau (Tun Abdul Razak), sampailah beliau (Najib) sekarang, beliau memang membantu rakyat di sini," ujarnya.
Tambah Amran, sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon, perlu memberi perhatian kepada pembangunan sosioekonomi di Parlimen itu terutama di Kuala Pahang.
"Pandangan saya selaku orang kampung, calon sesiapa saya tak kisah tapi perlu sedikit perhatian di Kuala Pahang.
"Di sini perlu dibangunkan sebagai kampung pra-pelancongan dalam Parlimen Pekan," tambahnya.
Mahukan anak jati Pekan
Kru Astro AWANI, penulis Fareez Azman dan jurukamera Khairulazman Mohamad, menjelajah ke kawasan bandar lama Pekan bagi mendapatkan reaksi masyarakat di sana.
Rosli Abdul Aziz, 66, pula berpendapat agar calon diketengahkan di peringkat Parlimen itu serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya hendaklah berjiwa rakyat.
Mandat yang diberikan, perlu dilaksanakan sebaik mungkin demi memanfaatkan rakyat di kawasan itu, ujarnya.
"Saya sebagai pengundi Parlimen Pekan dan DUN Peramu Jaya mengharapkan calon mengantikan Datuk Seri Najib kalau boleh biarlah berpendidikan," kata Rosli.
"Dia (calon) perlu sentiasa turun padang mendekati komuniti Pekan dan pengetahuan agamanya seiring dengan penduduk di sini," katanya.
Lebih penting jelas Rosli, pemimpin yang akan dipilih pada 19 November depan itu, dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.
"Kalau boleh biarlah anak jati Pekan, jangan selepas PRU dah dapat kemenangan, hilang janji tinggal janji.
"Tapi, InsyaAllah Pekan tiada lagi macam itu," tambahnya.
Pada PRU14, Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan selepas memperoleh kemenangan majoriti besar 24,859 undi mengatasi tiga lagi pencabarnya, Ahiatudin Daud (Pas), Zahid Mat Arip (PH) dan Andil Kadir Sainudin (Bebas).