PRU15: Sheikh Mohmed Puzi ganti Najib di Pekan, dua penyandang Parlimen Pahang gugur
Fareez Azman
November 1, 2022 23:23 MYT
November 1, 2022 23:23 MYT
KUANTAN: Kerusi Parlimen Pekan yang disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diisi dengan calon Datuk Sheikh Mohmed Puzi Sheikh Ali yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya.
Selain itu, di Pahang, beberapa penyandang kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) digugurkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mengikut pengumuman yang dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam Majlis Pengumuman Calon Parlimen BN PRU15, di Kuala Lumpur malam ini, tiga penyandang kerusi ditukarkan dengan calon muka baharu.
Antaranya, kerusi Parlimen Maran yang disandang Datuk Seri Ismail Abd Mutalib, diganti dengan calon baharu, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran.
Turut ditukar, penyandang Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan digantikan dengan Mohd Zukarmi Abu Bakar.
Turut diumumkan, enam penyandang yang kekal bertanding pada PRU kali ini termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen Bera.
Turut kekal, Datuk Ramli Mohd Nor bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands, Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.
BN turut mempertaruhkan tiga calon MCA iaitu di kerusi Parlimen Raub, Chong Sin Woon, Indera Mahkota, Quek Tai Seong dan Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga bekas Presiden MCA.
Dua lagi kerusi, Temerloh menyaksikan penyandang kerusi DUN Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin diberikan laluan dan Kuantan, Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar yang juga Setiausaha Perhubungan UMNO Pahang.