PRU15: Shahrir Samad tetap tidak bertanding, mahu bersihkan nama dahulu

Astro Awani
Oktober 27, 2022 10:40 MYT
SHAHRIR SAMAD: Tidak adil bagi saya meminta pengundi Johor Bahru untuk membersihkan saya, kerana saya harus membersihkan nama saya dulu melalui proses mahkamah. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Tan Sri Shahrir Abd Samad sekali lagi menegaskan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu berkata, beliau akan tetap mengetuai jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN).
"Saya sedang mempertahankan integriti dan nama baik saya dalam mahkamah, tuduhan yang dihadapi ialah dibawah Akta Pengubahan Wang Haram dan pengubahan wang haram itu saya telah lakukan dengan cara tidak mengistiharkan penerimaan duit itu sebagai pendapatan saya kepada LHDN.
"Tidak adil bagi saya meminta pengundi Johor Bahru untuk membersihkan saya, kerana saya harus membersihkan nama saya dulu melalui proses mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Shahrir yang juga bekas Pengerusi FELDA, didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada LHDN.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan itu, sudah berjalan sejak 26 Julai lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Dalam PRU14, Shahrir adalah antara nama besar BN yang tewas berikutan tsunami politik apabila pengundi dikatakan beralih kepada Pakatan Harapan (PH).
Di kerusi Parlimen Johor Bahru, Shahrir tewas kepada calon PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang menang dengan majoriti 19,782 undi apabila meraih 50,052 undi.
#shahrir samad #PRU15 #Malaysia Memilih #BN
;