PRU15: Shafizan gementar isi 'kasut besar' Rohani

Rudi Affendi Khalik
November 13, 2022 16:29 MYT
Mohd Shafizan (lima dari kanan) bersama penduduk Kampung Sampat di Sebuyau. - Astro AWANI
PUSA: Calon muka baharu Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Batang Lupar, Mohd Shafizan Kepli tidak menyangka bahawa satu panggilan ke telefon bimbitnya pada 30 Oktober lalu telah mengubah hidupnya.
Beliau kemudian bertukar daripada penjawat awam kepada ahli politik sepenuh masa.
“Rutin saya juga berubah. Tidur jam 2.00 pagi, bangun 4.30 pagi. Lepas itu fikir dan bersiap untuk berjumpa dengan rakyat untuk merayu undi.
Ujarnya, setelah seminggu bergelar pesaing pilihan raya, beliau sedar ini merupakan pengorbanan yang terpaksa dilakukan.
“Tiada lagi masa terluang seperti dahulu. Tiada lagi masa untuk mengambil anak di sekolah… yang kini digalas isterinya.
"Pasti saya akan merindui saat itu," ujarnya.
Bagi anak muda berumur 37 tahun ini, panggilan telefon oleh Naib Presiden, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Julaihi Narawi itu memintanya mempersiapkan diri sebagai calon GPS di Parlimen Batang Lupar.
Shafizan mengaku beliau terkejut dan gementar. Perasaan itu masih menghantui hingga ke hari ini.
Pertama, beliau tidak pernah termimpi untuk menjadi wakil rakyat. Dan yang kedua, beliau tiba-tiba diamanahkan satu jawatan yang besar, yang tidak pernah terbayang olehnya.
“Saya berdoa kepada Allah agar langkah yang saya ambil ini adalah sesuatu yang tepat dan bermanfaat, terutama untuk penduduk di Parlimen Batang Lupar.
“Saya berdoa agar tidak tersilap jalan," katanya.
Akuinya, beliau bernasib baik sebenarnya kerana bertugas sebagai Penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kawasan DUN Beting Maro, sebelum itu.
Daripada jawatan itulah beliau belajar menyantuni rakyat dan mendengar keluhan mereka.
“Sekurang-kurangnya jawatan ini tidak menjadi beban yang mengejut. Ia hampir dengan tugasan saya sebelum ini iaitu mendampingi rakyat dan mendengar keluhan mereka.
“Cuma kali ini, selain mendengar, saya juga memikul amanah untuk membawa suara mereka ke Dewan Rakyat, jika saya memenangi pilihan raya ini,” katanya yang bersyukur, setakat ini kempennya diterima baik oleh semua pihak.
Baginya, semua penduduk tidak kira tua atau muda, lelaki dan wanita berhak untuk disantuni kehendak mereka.
Beliau juga berazam untuk meneruskan semua agenda pembangunan yang sedang dirancang dan dilaksanakan oleh mantan ahli Parlimen kawasan tersebut, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
“Sejurus dimaklumkan tentang pemilihan saya, beliau (Rohani) adalah orang pertama yang saya hubungi. Saya merayu akan nasihat beliau, apa yang perlu saya lakukan selepas itu.
“Realitinya, bukan mudah untuk mengisi ‘kasut besar’ yang ditinggalkannya,” kata anak Kampung Pusa Tengah yang sentiasa merendah diri ini.
Dari luaran, lulusan Sarjana Muda Sastera Universiti Sains Malaysia ini tampak kecil fizikalnya. Namun beliau sebenarnya memiliki jiwa besar yang kental.
Beliau seorang yang aktif dan dekat dengan masyarakat.
Dari sudut politik, beliau pernah menjawat Ketua Pemuda PBB di Cawangan Beting Maro, sebelum diangkat sebagai Timbalan Ketua Cawangannya, sepenggal kemudian.
Bapa kepada tiga anak ini juga dilantik sebagai Exco Pergerakan Pemuda PBB Negeri serta Exco Saberkas Negeri Sarawak.
Ini melengkapkan dirinya dalam melayani anak-anak muda di kawasannya, dan mengenali aspirasi mereka.
“Ia cabaran besar bagi saya, sebab zaman belia saya dan zaman mereka jauh berbeza. Trend belia bandar dan luar bandar kini hampir sama, termasuk menjadi generasi gamers dan generasi digital, sedangkan zaman saya dahulu, kami mandi sungai dan bermain bola sepak,” katanya lagi.
Kata Shafizan, menjadi harapan dan doa beliau agar seluruh pemilih di Parlimen Batang Lupar dapat menerima kehadirannya dan memberi peluang kepadanya untuk memimpin mereka.
Calon termuda GPS pada PRU15 ini berkata, jika beliau menang, ia merupakan kemenangan bersama.
“Jika itu berlaku, saya memohon agar kita sama-sama berganding bahu memajukan parlimen ini, yang sebenarnya memiliki potensi besar untuk maju dan bernilai ekonomi,” tambahnya.
Demografi Parlimen Batang Lupar terdiri daripada tiga Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Sebuyau, DUN Lingga dan DUN Beting Maro.
Ia memiliki sejumlah 43,061 pemilih berdaftar, dengan 31,855 atau 74 peratus daripadanya terdiri daripada Melayu/Melanau manakala 9,414 pemilih atau 22 peratus adalah Iban.
Shafizan dicabar oleh dua calon lain iaitu Hamdan Sani (Perikatan Nasional) dan Well@Maxwell Rojis (Pakatan Harapan).
Hamdan, 35, berasal dari Kampung Samariang Jaya Fasa II pernah bertanding untuk Parlimen Petra Jaya pada 2018.
Bagi lulusan Sarjana Muda Sains Biologi UiTM Shah Alam yang yang bertugas sepenuh masa di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam di Kota Samarahan ini, cabaran yang dilalui dalam pilihan raya kali ini cukup berbeza berbanding pengalamannya bertanding di Parlimen Petra Jaya.
“Ini kerana saya bertanding di kawasan yang secara tradisi Pas bertanding pada setiap pilihan raya.
“Parti ini sudah bertanding di sini selama 20 tahun, dan sudah ada tapak sokongan. Kami tidak pernah hilang deposit di sini,” katanya optimis.
Beliau mengakui, pencalonan anak muda dan muka baharu seperti Shafizan memberi “peluang” yang baik kepadanya untuk memberi cabaran dan tentangan.
Jika menang katanya, beliau mahu memastikan sistem penyampaian kerajaan termasuk bantuan, subsidi dan sebagainya dapat diterima sepenuhnya oleh rakyat di parlimen tersebut tanpa tiris.
“Ini kerana berdasarkan maklum balas yang saya terima, wujud bantuan yang tidak sampai ke tangan rakyat bawahan,” katanya lagi, yang juga berharap dapat menjadi suara anak muda di Parlimen.
Selain itu, beliau juga berharap dapat menyediakan peluang pekerjaan dan kawasan penempatan baharu di kawasan ini, untuk mengelakkan penghijrahan anak muda ke luar kawasan.
Pada PRU14, Parlimen Batang Lupar dimenangi Datuk Rohani Abdul Karim yang ketika itu mengibar bendera Barisan Nasional, apabila mengutip 14,204 undi berbanding calon Pas, Wan Abdillah Wan Ahmad (3,927 undi) dan calon PH, Narudin Mentali (2,020 undi).
#calon GPS parlimen Batang Lupar #Mohd Shafizan Kepli #PRU15 #Rohani Abdul Karim
;