PRU15 sesuai selepas tamat penggal Parlimen Jun tahun depan - Pas
Muhafandi Muhamad
Jun 1, 2022 11:34 MYT
Jun 1, 2022 11:34 MYT
KOTA BHARU: Pas berpendirian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai diadakan selepas tamat penggal Parlimen ke-14 yang berakhir Jun tahun depan.
Menurut Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seharusnya diberikan masa untuk memulihkan negara kesan dari pandemik COVID-19.
"Kalau tanya pandangan kita, Pas sendiri dan saya secara peribadi, lebih suka kalau tunggu habis penggal. Ada lebih kurang setahun saja lagi.
"Kalau empat tahun boleh tunggu, kenapa setahun tak boleh tunggu? Tunggulah. Saya rasa kita wajar beri ruang kepada PM sebab dia baru ambil alih, dia tentu ada perancangan yang hendak dimajukan.
"Untuk negara, untuk atasi masalah ekonomi kesan pandemik dan untuk membuktikan dirinya. Kalau kita buat pilihan raya sekarang, dia tak ada masa hendak buktikan kemampuan dia," katanya.
Mohd Amar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Stesen Mek Awe Panchor, di sini, semalam.
Katanya, Ismail Sabri seharusnya diberikan ruang untuk mentadbir negara dan pada masa dapat membuktikan kemampuannya dalam merangka agenda negara.
Mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi baru-baru ini, Mohd Amar berkata, terpulang kepada Perdana Menteri untuk menerima atau menolaknya.
Sekiranya peletakan jawatan itu diterima, katanya, kekosongan itu perlu diisi wakil dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia kerana ia adalah kuota parti itu.