PRU15: Serangan peribadi calon BN, itu taktik lama - Ismail Sabri
Fareez Azman
November 6, 2022 16:11 MYT
November 6, 2022 16:11 MYT
BERA: Tindakan parti lawan melancarkan serangan peribadi terhadap calon-calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanyalah taktik lama.
Ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO, pengundi muda ketika ini lebih mahukan produk yang ditawarkan terhadap rakyat, berbanding mendengar serangan peribadi oleh parti tertentu.
"Mengenai serangan-serangan peribadi ini, saya rasa itu strategi dan taktik lama.
"Bagi saya zaman sekarang dengan pengundi baru muda, pemikiran mereka dah berbeza daripada dulu.
"Mungkin mereka tak suka dengar serangan peribadi, serangan-serangan kadang kala kurang tepat fakta dia," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Program Kenduri Rakyat di Kemayan pada Ahad.
Tambah Ismail Sabri yang juga calon P.090 Parlimen Bera, BN tidak mengikut rentak politik seperti itu, sebaliknya memilih untuk menerangkan fakta kejayaan serta perancangan memanfaatkan rakyat.
"Kita berdasarkan kepada fakta, ini saya dah buat dan ini saya akan buat untuk mereka (pengundi). Jadi kalau mereka memilih kerajaan ini, mereka akan tahu apa mereka dapat.
"Saya tak beri fokus untuk attack sesiapa, bagi saya apa produk kita nak jual kepada rakyat lebih baik daripada memburukkan produk orang lain.
"Nanti rakyat akan tanya apa produk you, now kita beri produk kita, bagi saya strategi itu rakyat nak dengar sekarang, rakyat dah bijak dan matang," katanya lagi.