PRU15: Sentimen pengundi tak berubah, masih sokong PH di Kota Raja - Mat Sabu
Sinar Harian
November 12, 2022 11:10 MYT
November 12, 2022 11:10 MYT
KLANG: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mendakwa sentimen pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih tidak berubah dan mereka masih menyokong Pakatan Harapan (PH) di Kota Raja.
Bagaimanapun, calon Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, apa yang tidak dapat diukurnya adalah sentimen pengundi yang pertama kali mengundi dan berumur 18 tahun.
"Di Kota Raja ini, jumlah pengundinya hampir sama ramai dengan satu Negeri Perlis, lebih daripada 260,000 pengundi.
"Jadi, kalau kita nak bertemu dengan para pengundi tidak sempat. Cuma jentera kita, PH mereka bekerja dengan begitu keras untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live dikendalikan oleh Fahiz Ariff yang bertajuk 'Kota Raja Masih Kubu PH?’ disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Menyentuh pertandingan lapan penjuru di Kota Raja, Mohamad berpandangan saingan terdekatnya bagi kawasan berkenaan adalah BN dan Perikatan Nasional (PN).
"Saya ingat saingan yang ada BN dan PN. Yang lain-lain itu kita alu-alukan. Siapapun boleh bertanding asalkan ada duit bayar deposit, boleh bertanding," katanya. -Sinar Harian