PRU15: Senarai calon UMNO sudah diterima untuk pertimbangan
Bernama
Oktober 14, 2022 21:42 MYT
Oktober 14, 2022 21:42 MYT
SEREMBAN: Semua perhubungan UMNO negeri telah menghantar senarai calon masing-masing untuk dipertimbangkan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Namun, beliau berkata tidak semestinya calon yang disenaraikan itu sahaja dinilai oleh pucuk pimpinan parti untuk diketengahkan sebagai calon PRU15.
"Ini pusingan pertama, kita ambil maklum senarai yang dicalonkan. Ibu pejabat akan membuat penilaian calon dan tidak semestinya orang yang disenaraikan itu sahaja akan dinilai.
"Bagi parti, kemenangan keutamaan kita. Jika calon itu boleh memberi kemenangan kita akan bagi dia bertanding mewakili parti," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
-- BERNAMA