PRU15: Senarai calon PN akan diumumkan pada 2 atau 3 November depan
Muhammad Aiman Hakeem
Oktober 28, 2022 16:30 MYT
Oktober 28, 2022 16:30 MYT
MUAR: Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan barisan calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada minggu hadapan
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat pada 2 atau 3 November depan.
Katanya, penelitian terhadap senarai nama yang dicadangkan parti-parti komponen di bawah gabungan itu, telah berada di fasa akhir dan dijangka selesai, dalam masa terdekat.
"Perkara itu (pengumuman calon) saya perlu dapatkan pengesahan daripada rakan-rakan lain kalau mereka dah siap, maka kita umumkan awal.
"Kita kena pastikan persiapan selesai menjelang 4 November supaya mereka siap sedia mengisi borang penamaan calon.
"Malah, saringan yang dibuat ke atas mereka dapat diselesaikan menjelang 5 November yang merupakan hari penamaan calon," katanya pada sidang media selepas sesi ramah mesra bersama masyarakat Cina di Bukit Kepong, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, calon yang dipilih, akan melalui proses saringan yang ketat membabitkan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Jelas beliau, ia bagi memastikan individu yang mempunyai rekod bersih dapat diketengahkan sebagai calon yang bertanding mewakili gabungan itu.
Dalam pada itu, tambah Muhyiddin, PN juga menyasarkan untuk bertanding lebih tiga perempat daripada keseluruhan 222 kerusi parlimen pada PRU15 nanti.
"Kita juga sudah putuskan walaupun kita mempunyai 222 kerusi yang boleh dipertandingkan seluruh negara. Namun, kita tak tanding semua.
"Tapi kita akan bertanding lebih daripada tiga suku dari jumlah keseluruhan itu dan butiran ini kita akan umumkan kemudian.
"Ketika Ini kita sedang teliti dan kalau tempat itu memang perlu untuk kita tanding dan kita dapati kawasan itu mempunyai peluang dan kesempatan, maka kita akan tanding," tambahnya.