PRU15: Semua calon 'poster boy' pembangkang asal dari UMNO - Nazri

Irwan Muhammad Zain
Oktober 19, 2022 19:32 MYT
NAZRI: Jadi, saya nasihatkan kepada rakyat daripada pilih 'poster boy' bekas UMNO, lebih baik pilih yang masih dalam UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Parti-parti pembangkang masih dibayangi UMNO biarpun menganggap parti itu sebagai musuh, kata bekas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Hujah Mohamed Nazri, semua 'poster boy' yang akan ditampilkan oleh pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berasal dari UMNO.
Katanya, situasi itu membuktikan UMNO merupakan sebuah parti yang terbaik dan melahirkan ramai pemimpin hebat.
“Kita dengar Gerakan Tanah Air, akan letak (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sebagai 'poster boy', Pakatan Harapan letak (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan Perikatan Nasional pula letak (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin), ini semua bekas pemimpin UMNO.
“Ini bukti bahawa UMNO adalah parti terbaik dan melahirkan ramai pemimpin hebat hingga ada yang dapat jadi Perdana Menteri dua kali.
“Saya fikir mereka ini isytihar UMNO sebagai musuh, tetapi dalam hati mereka sangat merindui UMNO kerana parti keramat ini sangat tersusun strukturnya dan terbukti berjasa kepada rakyat terutamanya orang Melayu.
“Jadi, saya nasihatkan kepada rakyat daripada pilih 'poster boy' bekas UMNO, lebih baik pilih yang masih dalam UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya kepada Astro AWANI.
PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.
Sementara itu mengulas sama ada akan bertanding dalam PRU15, Mohamed Nazri hanya menjelaskan perkara itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Tunggu, sampai masa akan diumumkan,” katanya.
#PRU15 #poster boy pembangkang #UMNO #Mohamed Nazri Abdul Aziz
;