PRU15: Semua calon Pas sudah laksanakan baiah - Takiyuddin

Muhafandi Muhamad
November 6, 2022 07:15 MYT
Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ada juga calon dari parti Bersatu turut sama mengangkat sumpah bersama dengan calon Pas. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Kesemua calon Pas sudah melaksanakan baiah selepas menerima watikah sebagai calon pada Pilihan Raya kali ini.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Bahkan ada juga calon dari parti Bersatu turut sama mengangkat sumpah bersama dengan calon Pas.
"Dah selesai, sebenarnya saya nak sebut untuk calon Pas diwajibkan baiah atau ikrar taat setia kepada parti pada malam sebelum penamaan calon hari Jumaat.
"Terdapat calon Bersatu angkat baiah secara sukarela, atas kesedaran kerana baiah ini tidak mengkhianati parti dan mandat dari rakyat," katanya.
Katanya kesemua calon Pas yang bertanding sudah melakukan baiah selepas menerima watikah untuk tidak mengkhianati parti.
Sekiranya wakil rakyat Pas lompat atau meninggalkan parti, wakil rakyat itu perlu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sementara itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli sekali lagi mengulangi isu air di Kelantan sedang dan akan diselesaikan melalui Kementerian Air dan Alam Sekitar.
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku menteri di kementerian berkenaan memberi jaminan akan menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan.
Bahkan peruntukkan yang besar kepada Kementerian Air dan Alam Sekitar telah diluluskan khas bagi menyelesaikan isu air di Kelantan.
#Takiyuddin Hassan #PRU15 #baiah #Malaysia Memilih
;