PRU15: Semua Ahli Parlimen Sabah yang terpilih perlu bersatu

Bernama
Oktober 15, 2022 04:43 MYT
Pairin berkata, pengundi terutamanya generasi muda mesti ada dalam pemikiran mereka mengenai kepentingan untuk melindungi Sabah dan masa hadapannya. - Gambar fail Astro AWANI
KOTA KINABALU: Kesemua Ahli Parlimen (MP) dari Sabah yang akan terpilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mesti bersatu suara dan mempunyai hala tuju yang sama dalam melindungi hak, kepentingan dan kedaulatan negeri," kata bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Oleh sebab itu Pairin berkata PRU15 amat penting dan bersignifikan apabila melibatkan sesi Parlimen selepas pilihan raya, terutamanya dalam konteks hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata dalam memastikan peranan tersebut di Parlimen dengan satu suara dan hala tuju, kesemua Ahli Parlimen dari Sabah, perlu berpendirian dan bekerja sebagai satu keluarga.
"Maksudnya ialah, fokus rakyat mesti kepada menekankan dan melindungi hak dan kepentingan Sabah menerusi suara 25 kerusi dan 26 jika termasuk Labuan, MP yang dipilih dari Sabah di Parlimen.
"Kita patut mencontohi Sarawak dan pemimpin kita telahpun menyatakan mereka akan bekerjasama dengan Sarawak.
"Ia suatu yang diperkatakan dengan baik, marilah kita pertimbangkan pendekatan ini supaya pandangan kita boleh ditukar menjadi tindakan yang aktif dan positif menghasilkan hasil yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Pairin yang merupakan Ketua Menteri Sabah ketujuh dari April 1985 ke Mac 1994, juga merupakan pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Mac 1985 dan kekal sebagai presidennya sehingga beliau bersara pada November 2016.
Pemimpin veteran kelahiran Papar itu kini Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), memegang gelaran 'Huguan Siou' atau Pemimpin Tertinggi dalam komuniti.
Pairin berkata, pengundi terutamanya generasi muda mesti ada dalam pemikiran mereka mengenai kepentingan untuk melindungi Sabah dan masa hadapannya, selain keselamatan dan pembangunan untuk generasi akan datang.
-- BERNAMA
#Joseph Pairin Kitingan #Sabah #PRU15 #bubar parlimen
;