TANJUNG MALIM: Barisan Nasional (BN) Perak mengalu-alukan kedatangan pemimpin tertinggi parti politik tanah air untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BN Perak menganggap kedatangan ‘giant-giant’ itu sebagai positif yang akan menggerakkan jentera parti itu.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata,  jentera BN telah lama bersiap sedia untuk menghadapi sesiapa sahaja calon lawan.

"Kepada Barisan Nasional, ini bagus, kalau tak ada tentangan, tak ada 'giant ' (gergasi politik) datang, kita bimbang kalau-kalau jentera Barisan Nasional tidur tetapi dengan kehadiran 'giant-giant' ini, jentera Barisan Nasional bangkit, bangkit berikrar dan bekerja bersungguh-sungguh untuk mempastikan 'giant-giant' ini will be killed," katanya.

Beliau ditemui ketika Program Ramah Mesra Dengan Keluarga K. Devagi Sempena Hari Deepavali di Kampung Chengai, Sungkai, di sini pada Isnin.

Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!

Sehubungan itu, beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak terpedaya dengan propaganda pihak lawan.

Menjelang PRU15 pada 19 November depan, Perak dijangka menyaksikan beberapa nama-nama besar yang akan mencuba nasib mereka.

Antaranya ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu;  Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.