PRU15: "Saya tidak mahu menang dengan mencerca lawan" - Anwar

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 27, 2022 16:18 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua dari kanan)beramah mesra dengan penyokong beliau pada majlis perjumpaan dengan veteran tentera di Dewan Orang Ramai, RPT Batu 10, Chepor, Ipoh, hari ini. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak mahu memenangi kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dengan mencerca calon lawan.
Sehubungan itu, Presiden PKR itu menasihatkan calon-calon lain supaya jangan memburuk-burukkan calon lawan sepanjang kempen PRU15.
“Saya tak mahu menang kerana cerca lawan, tak payah. Saya nak menang Insya-Allah kerana keyakinan rakan-rakan tentang apa yang boleh saya lakukan untuk Tambun dan negara Malaysia.
“Dan tengoklah, sepanjang kempen ini, saya juga beritahu kawan-kawan kita, tak usah, tak perlu cerca mereka. Kalau orang tahu, tahu… tak tahu tak apa, kita kena jaga ini,” katanya ketika berucap dalam perjumpaan dengan veteran tentera di Dewan Orang Ramai, RPT Batu 10, Chepor, dekat sini, hari ini
Hadir sama, Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi.
Menurut Anwar, walaupun berkawan dengan DAP serta Amanah dan memerlukan sokongan orang Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan, dalam masa sama, mereka tidak pernah goyah mengenai prinsip Perlembagaan.
“Budaya bangsa Melayu dan Islam (sebagai) agama Persekutuan, tak pernah kita pertikai,” ujarnya.
Sementara itu, dalam satu program berasingan, beliau menyantuni masyarakat di Sungai Kanthan sempena Pesta Lei Cha bersama DAP.
Ketika berucap, Anwar secara berseloroh berkata, beliau yakin memenangi kerusi Parlimen Tambun selepas melihat jumlah kehadiran pada majlis tersebut.
#PRU15 #Calon PRU15 #Anwar Ibrahim #parlimen tambun
;