PRU15: Saya tetap dengan pendirian tidak bertanding - Nazri
Irwan Muhammad Zain
Oktober 21, 2022 09:40 MYT
Oktober 21, 2022 09:40 MYT
KUALA LUMPUR: Ketika banyak pihak masih menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun telah lebih tiga penggal bergelar wakil rakyat, Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kekal dengan pendirian untuk memberi laluan kepada calon lain di kerusi yang dimenanginya sejak enam penggal yang lalu.
Bercakap kepada Astro AWANI, Mohamed Nazri menjelaskan sudah tiba masanya untuk beliau memberi ruang dan peluang kepada golongan muda untuk bertanding di Padang Rengas.
"Ramai bertanya adakah saya masih berpegang kepada keputusan yang dibuat setahun yang lalu, jadi hari ini saya nak beritahu, ya, saya masih dengan pendirian yang sama.
"Saya tidak akan bertanding pada PRU15 dan akan memberi laluan kepada muka baharu di kerusi tersebut. Setiap yang bermula pasti akan berakhir.
"InsyaAllah Padang Rengas akan kekal di bawah UMNO dan Barisan Nasional pada PRU15 ini biarpun bukan saya lagi yang bertanding.
"Kita kena beri peluang kepada muka baharu, memang tidak akan ada seorang lagi Nazri Aziz tetapi setiap orang akan ada kelebihan sendiri," katanya.
Setahun yang lalu, Mohamed Nazri mengumumkan tidak akan mempertahakan kerusi parlimen Padang Rengas pada PRU15 untuk memberi laluan kepada muka baharu.
Ketika ini setiap parti di peringkat akhir untuk memutuskan calon yang akan bertanding pada PRU15 yang akan diadakan pada !9 Nov nanti.
Pada Khamis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumukan penamaan calon akan diadakan pada 5 Nov dan tempoh berkempen adalah selama 14 hari.
PRU15 perlu diadakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober yang lalu.