PRU15: Saya telah tunaikan tanggungjawab, kini giliran anda - Ongkili

Abdul Hafiz Mustadi
November 19, 2022 13:40 MYT
Maximus berdepan tentangan enam penjuru dalam misinya mempertahankan kerusi Kota Marudu bagi penggal ketujuh. - Foto Astro AWANI.
KOTA MARUDU: Penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Ongkili yang tiba pada jam 9.18 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Marudu selesai membuang undi pada 9.30 pagi tadi.
"Saya telah tunaikan hak saya, giliran anda lagi", kata Ongkili secara ringkas kepada orang awam yang hadir di pusat pembuangan undi itu.
Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) selepas itu turut melakukan tinjauan di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Kota Marudu.
Beliau yang mempertahankan kerusi Kota Marudu bagi penggal ketujuh atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berhadapan dengan pesaing rapat Datuk Wetrom Bahanda daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) selain beberapa lagi calon iaitu Datuk Jilid Kuminding (Warisan), Shahrizal Denci (MUDA), Mohd Azmie Zulkiflee (Pejuang), dan Norman Tulang.
Ongkili pada PRU14 berjaya mengekalkan kerusi Kota Marudu atas tiket Barisan Nasional (BN) selepas memperolehi 13,033 undi menewaskan pesaing terdekat Datuk Maijol Mahap daripada Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang memperolehi 11,259 undi.
#PRU15 #Maximus Ongkili #PBS #GRS
;